Premis berbentuk kontena penuh dengan barang keperluan di Pontian

Baju terpakai dikumpulkan penduduk akan dijual bagi mendapatkan dana untuk kontena rezeki Kampung Seri Bunian.
A
A

PONTIAN - Sebuah premis berbentuk kontena dipenuhi dengan keperluan makanan harian seperti tepung, beras, minyak masak, susu, gula menjadi bukti kesepakatan penduduk Kampung Seri Bunian.

Hasil dari jualan pakaian terpakai yang diusahakan oleh penduduk menerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung ( MPKK) digunakan untuk membeli barang–barang keperluan harian untuk kontena rezeki sebelum diagihkan kepada golongan asnaf.

Ketua Kampung, Abdul Rahman Mohd Yuno berkata, inisiatif melaksanakan usaha itu timbul apabila melihat projek gerobok rezeki yang diadakan di masjid dapat membantu golongan memerlukan.

Namun bagi membantu lebih ramai golongan asnaf di kampung berkenaan, pendekatan baharu dicari iaitu dengan memperkenalkan program kontena rezeki.

“Bermula Mac lepas, kontena rezeki sudah mula beroperasi. Ada yang beri sumbangan makanan dan baju terpakai untuk dijual.

“Tidak mahu sepenuhnya bergantung dengan sumbangan, MPKK mencari inisitif mengadakan jualan baju terpakai bagi mencari dana tambahan membeli barang keperluan harian untuk diberi kepada asnaf,” katanya ketika ditemui semalam.

Abdul Rahman berkata, sebuah kereta Proton Saga terpakai disumbangkan seorang penduduk kampung bagi kegunaan menghantar barang kepada golongan asnaf. “Sumbangan dihantar terus ke rumah asnaf seperti ibu tunggal dan fakir miskin menggunakan kereta yang diwakafkan itu.

“Dalam sebulan sekurang-sekuranya 12 asnaf menerima sumbangan dari kontena rezeki,” katanya.

Beliau memberitahu sambutan diberikan terhadap jualan baju terpakai menggalakkan kerana yang datang membeli bukan setakat orang kampung tetapi ada juga dari Johor Bahru.

“Penjualan baju terpakai bagi mendapatkan dana kontena rezeki tular di media sosial. Ramai yang hendak membantu.

“Mereka sanggup datang dari jauh semata-mata mahu membeli baju terpakai demi kontena rezeki yang seterusnya membantu golongan asnaf. Jualan baju terpakai dibuat pada hari Khamis dan Jumaat," katanya.

Tambahnya lagi, kejayaan kontena rezeki hasil usaha 13 ahli jawatankuasa MPKK dengan sekongan kira-kira 1,000 penduduk Kampung Sri Bunian. “Usaha untuk mendapatkan lebih dana bagi kontena rezeki giat akan dilakukan supaya lebih ramai golongan asnaf dapat dibantu,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia