Yeop Peteh Ganu di Ipoh

Pemain Pasukan Perak, meraikan gol pertama ketika bertemu pasukan Terengganu pada saingan Liga Super Malaysia di Stadium Perak malam ini. - Foto Bernama
Pemain Pasukan Perak, meraikan gol pertama ketika bertemu pasukan Terengganu pada saingan Liga Super Malaysia di Stadium Perak malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH – Perak meraih tiga mata berharga apabila menewaskan Terengganu 3-1 pada aksi Unifi Liga Super di Stadium Perak, tadi.

Kapten Shahrul Mohd Saad membuka jaringan pada minit ke-33 manakala penyerang import Ronaldo Henrique Silva menjaringkan gol kedua pada minit ke-69 dan gol ketiga pada minit ke- 77.

Biarpun Terengganu berjaya merapatkan jurang gol hasil jaringan Chanthacheary Bin pada minit ke-88, namun ia sudah terlalu lewat untuk menyaksikan Perak meraih tiga mata berharga di gelanggang sendiri.

Perak bermula garang dengan mengasak ke gawang Terengganu bagi meledak jaringan pembukaan.

Perak mendapat peluang keemasan untuk membuka jaringan pada minit ke-3, namun tandukan Kenny Pallraj berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang Terengganu, Muhamad Ilham Amirullah Razali.

Terengganu kemudiannya dilihat mula mengatur asakan ke gawang Perak namun asakan-asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan tuan rumah.

Perak kemudiannya sekali lagi terlepas peluang untuk membuka jaringan apabila rembatan J Partiban sekadar tepat ke tiang kanan gawang pelawat pada minit ke-15 manakala sepakan percuma Nazirul Naim Che Hashim empat minit kemudian berjaya ditepis Muhammad Ilham.

Minit ke-26, pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Dechi Marcel N’Guessan dilayangkan kad merah setalah mengasari Nazirul Naim.

Artikel Berkaitan:

Beraksi dengan 10 pemain bagaimanapun dilihat tidak melemahkan semangat Terengganu untuk mengasak ke gawang tuan rumah dan minit ke-29 menyaksikan kapten, Tchetche Hermaan Brice Kipre mempunyai peluang untuk menjaringkan gol menerusi pada minit ke-29, namun sepakan leretnya sekadar melintasi gawang gol Perak.

Pada minit ke-30, Tchetche berjaya menanduk masuk namun jaringannya dibatalkan pengadil kerana berada pada posisi ofsaid.

Akhirnya minit ke-34, Perak memecah kebuntuan jaringan hasil tandukan kapten, Shahrul Mohd Saad yang sama sekali menewaskan Muhamad Ilham.

Gol berkenaan nyata menyemarakkan semangat kesebelasan Perak untuk menggandakan asakan ke gawang Terengganu untuk menambah gol namun jentera serangan The Bos Gaurus itu dilihat gagal memanfaatkan deretan peluang sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Perak diberikan sepakan penalti pada minit ke-47 apabila pertahanan Terengganu mengasari Norhakim Hassan dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, pemain import Raianderson da Costa Morais gagal menyempurnakan sepakan penalti berkenaan apabila Muhamad Ilham berjaya menampan dengan sepakan berkenaan.

Hasil satu serangan balas, Perak menambah gol kedua apabila penyerang import, Ronaldo Henrique Silva berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan percuma pada minit ke-69.

Ronaldo kemudiannya sekali lagi meledak gol ketiga pada minit ke-77 untuk melebarkan jurang gol.

Ketinggalan 0-3, bagaimanapun menyaksikan Terengganu tetap tidak berputus asa untuk mengasak ke gawang Perak dan hasilnya Chanthacheary Bin berjaya menjaringkan gol sagu hati pada minit ke-88.

Bagaimanapun jaringan berkenaan dilihat sudah terlalu lewat untuk menyekat kemenangan Perak.

PERAK – Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Mohd Saad (kapten), Hussein El Dor, Leandro Dos Santos, Ronaldo Henrique Silva, Kenny Pallraj, J.Partiban, Mohd Nor Hakim Hassan (Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi), Nazirul Naim Che Hashim, Amirul Azhan Aznan (Idris Ahmad), Raianderson da Costa Morais

TERENGGANU – Muhamad Ilham Amirullah Razali, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris @ Wan Nazli, Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri, Chanthacheary Bin, Ahmad Syamim Yahya, Mohamad Nabil Ahmad Latpi, Sanjar Shaakhimedov, Khairul Anwar Shahrudin, Muhamad Sharin Sapien, Tchetche Hermaan Brice Kipre (kapten), Dechi Marcel N’Guessan

PENGADIL – Muhammad Nazmi Nasaruddin