15 individu ditahan terlibat aktiviti seludup migran

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd ketika sidang media di IPK Johor di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd ketika sidang media di IPK Johor di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan 15 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran di negeri ini, menerusi Ops Pintas Selatan sejak 13 Mei hingga hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kesemua individu terbabit berusia lingkungan 23 hingga 65 tahun merupakan warga tempatan dan Indonesia.

"Kita menjangkakan di Johor ini, yang mana jajaran pantai sepanjang 516 kilometer dari Mersing ke Muar, berlakunya kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) khasnya di Johor.

"Bagi Johor, kita telah merangka satu strategi yang mana kita mengambil satu langkah pencegahan lebih awal. Ops Pintas Selatan telah dibuat dengan sasaran tekong darat, tekong laut, penjaga rumah penampungan, 'transporter' dan jaga air (individu yang memaklumkan kehadiran polis)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, menerusi operasi itu, sebanyak 24 sekatan jalan raya dilaksanakan di seluruh Johor di mana 700 kenderaan dan 1,074 individu diperiksa bagi tujuan pencegahan aktiviti berkenaan.

Katanya, kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 26C ATIPSOM 2007.

"Dengan tertangkapnya individu-individu ini, maka kita telah sekurang-kurangnya berjaya menyekat aktiviti yang nak membawa masuk PATI. Jadi dalam usaha kita menangkap PATI, kita tangkap orang yang melaksanakan perniagaan ini.

"Dengan cara begini, tujuan kita memberi kegerunan kepada PATI supaya jangan mendarat di Johor. Polis Johor berazam menjadikan Johor bebas daripada aktiviti ini," katanya.

Artikel Berkaitan: