Sarawak tinjau potensi jualan tenaga ke Kalimantan Barat

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg - Foto Bernama
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING – Kerajaan Negeri Sarawak, menerusi utiliti tenaga milik kerajaan negeri, Sarawak Energy Bhd (SEB), meninjau potensi jualan elektrik tambahan ke Indonesia.

Ini berikutan laporan terkini bahawa ibu negara Indonesia mungkin beralih ke Kalimantan Barat daripada Jakarta dalam waktu terdekat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata negeri ini sedang mengusahakan inisiatif Borneo Grid dengan sambungan pertama ke Kalimantan Barat.

“Dengan kepakaran dan kemahiran kejuruteraan SEB, potensi itu ada dan kami boleh bekerja dengan Indonesia,” katanya pada majlis sambutan Gawai Raya SEB untuk kakitangan dan pihak berkepentingannya yang berpangkalan di Kuching.

Beliau juga berkata SEB sedang dalam rundingan dengan Sabah dan negara jiran Brunei untuk perjanjian pertukaran tenaga.

Daripada keseluruhan bajet negeri yang berjumlah RM11.9 bilion, Abang Johari berkata sebanyak RM2.7 bilion diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar yang dilaksanakan oleh SEB di bawah projek tenaga eletrik luar bandar.

Beliau berkata ketika ini Sarawak merupakan pengeluar terbesar dari segi tenaga bersih yang dihasilkan daripada empangan hidroelektiknya, termasuk empangan Bakun.

Menurut Abang Johari, Sarawak mempunyai semua ciri untuk menjadi pembekal tenaga serantau, oleh itu SEB boleh meneroka produk-produk baharu seperti hidrogen dan oksigen untuk dipasarkan di luar negara bagi meningkatkan hasil kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi SEB Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi berkata liputan elektrik domestik negeri adalah 97 peratus sekarang.

“Sasaran kami adalah untuk membekalkan 99 peratus tenaga di Sarawak menjelang 2020 dan ke arah pembekalan elektrik sepenuhnya menjelang 2025,” tambahnya. - Bernama