Kelantan yakin Kerajaan Pusat tunai janji bayar royalti minyak

Ahmad
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri optimis akan menerima bayaran royalti minyak walaupun Kerajaan Persekutuan tidak menjanjikan bila tempoh bayaran tersebut akan dilakukan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob semasa menjawab soalan (Pas-Tendong) Rozi Muhamad memberitahu, kerajaan negeri kini mengambil sikap menunggu, sebelum bertindak mengarahkan 'tentera-tenteranya' untuk membuat serangan.

"Kita tidak diberikan tarikh tertentu, namun kemungkinan-kemungkinan ini kita akan tunggulah, kerana proses untuk mendapatkannya telah kita sempurna segala-galanya, kecuali mungkin ada ketidaksefahaman antara menteri-menteri Kerajaan Persekutuan, itu kemungkinan yang berlaku," katanya.

Turut mengajukan soalan tambahan ialah (BN- Kok Lanas) Datuk Mohd Alwi Che Ahmad selain berkongsi pengalaman bekerja di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

"Saya kagum dengan usaha kerajaan tidak putus berusaha untuk kepentingan kita bersama. Saya nak kongsi pengalaman bersama Tun, beliau mempunyai sifat yang berlainan iaitu dia kata A tapi dia maksudkan sebenarnya B. Daripada dulu pun, misalnya dia kata tol akan dihapuskan, tapi tidak dihapuskan pun.

"Saya harap Kerajaan Kelantan mesti mengambil percakapan itu sebagai percakapan yang abstrak. Apakah langkah Kerajaan Kelantan dalam memastikan perkara ini dapat diselesaikan.

"Kita mesti beri tekanan sebab kita tidak boleh biarkan mereka ini bercakap manis, cakap lain, buat lain. Sebab kita sudah tahu, sepanjang setahun yang lalu, cakapnya lain, buatnya lain."

Menjawab soalan tersebut, Ahmad berkata, kerajaan negeri masih yakin dengan Tun walaupun umur beliau semakin meningkat dan akan mencapai 100 tahun.

"Saya masih lagi yakin terutamanya usia semakin hampir 100 tahun, dia tidak akan menyeleweng kepada perkara lain. Dan Insya-ALLAH kita akan serahkan kepada rakan-rakan kita di Parlimen untuk membantu," katanya disambut tawa sidang dewan.