Selepas adik-beradik, anak pula meninggal dunia

Dr Selasawati (kiri) sempat mengiringi yang Rosli menaiki van bagi menemani mayat anaknya yang dibawa ke HGM pada tengah hari ini.
Dr Selasawati (kiri) sempat mengiringi yang Rosli menaiki van bagi menemani mayat anaknya yang dibawa ke HGM pada tengah hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Selepas kematian dua adik-beradik, kesedihan kembali dirasai seorang penduduk orang asli dari suku kaum Bateq Kuala Koh Gua Musang apabila anak bongsunya pula meninggal dunia di di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini petang semalam.

Rosli Jong, 30, berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu, Nasri,3, meninggal dunia pada jam 6.45 petang selepas lapan hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) hospital berkenaan.

“Saya sedih tapi reda, mayat akan kebumi di Gua Musang,” katanya yang kelihatan sugul dan lebih banyak berdiam diri ketika keluar dari bilik mayat Unit Forensik HRPZ II di sini hari ini.

Sebelum ini, kanak-kanak itu kritikal dan dirawat di PICU dalam keadaan tidak sedarkan diri serta menggunakan alatan bantuan pernafasan sebelum meninggal dunia petang semalam.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HRPZ II sebelum dibawa menaiki van jenazah pada jam 12.30 tengah hari hari ini menuju ke Hospital Gua Musang (HGM) bagi tujuan dibedah siasat di hospital berkenaan bersama 14 mayat yang lain.

Rosli berkata, jenazah anaknya itu akan dikebumikan selepas proses bedah siasat selesai.

Rosli yang masih bersedih dengan pemergian dua adik-beradiknya Jalik pada 6 Jun manakala Puja pada 7 Jun lalu itu berharap perkara yang melanda suku kaumnya itu akan selesai secepat mungkin demi keselamatan penduduk di kampung berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mayat Nasri dibawa keluar dari bilik mayat Unit Forensik HRPZ II menaiki van jenazah untuk dibawa ke HGM bagi tujuan bedah siasat.
Mayat Nasri dibawa keluar dari bilik mayat Unit Forensik HRPZ II menaiki van jenazah untuk dibawa ke HGM bagi tujuan bedah siasat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Rosli adalah salah seorang daripada 112 penduduk orang asli suku Bateq dari Kuala Koh yang diserang penyakit sejak sebulan lalu.

Jumaat lalu Rosli diisytihar bebas daripada jangkitan radang paru-paru setelah enam hari dirawat di HRPZ II.

Selain itu, dua lagi anak Rosli iaitu Jo,6, dan Ja,4, juga menunjukkan simptom sama dan sedang dirawat di Hospital Kuala Krai (HKK).

Penyakit itu juga menyebabkan 14 kematian termasuk dua beradik Rosli iaitu Puja dan Jalik dalam tempoh sebulan dengan dua daripadanya dilaporkan mati akibat radang paru-paru.

Sementara itu, Pengarah HRPZII, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, pasukan Forensik akan menjalankan bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak itu dilakukan di HGM.

Katanya, mayat kanak-kanak berkenaan dibawa dari HRPZ II ke HGM dengan diiringi bapa mangsa hari ini.

“Bedah siasat akan dijalankan di HGM oleh pasukan pakar forensik yang sudah berada di sana.

“Setakat ini (pagi semalam), sudah tidak ada mangsa dari suku kaum Bateq yang dirawat di HRPZ II,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak orang asli Bateq meninggal dunia