Penubuhan Jabatan Pendidikan Islam Melaka dalam perbincangan

Adly (dua, kiri) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung Majlis Rumah Terbuka JAIM di pekarangan Auditorium Majid Al Azim di sini hari ini.
Adly (dua, kiri) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung Majlis Rumah Terbuka JAIM di pekarangan Auditorium Majid Al Azim di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri masih lagi dalam proses perbincangan bagi merealisasikan penubuhan Jabatan Pendidikan Islam Melaka pada tahun ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kelewatan pembangunan sektor berkenaan yang sepatutnya dapat ditubuhkan selewat-lewatnya Mac lalu disebabkan beberapa faktor termasuk melibatkan isu perlembagaan.

Bagaimanapun menurutnya, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sedang membuat perbincangan lanjut secara lebih menyeluruh dan mampan dari segi pelaksanaan dan peranan jabatan tersebut.

"Perbincangan masih dibuat dan hasil daripada keputusan perbincangan MAIM itu akan ada mekanismenya dan bagaimana kita dapat melaksanakan hasrat kita itu.

"Kita akan cuba memuktamadkan tahun ini, dan pelan tindakan juga dimuktamadkan tahun ini, apa pun dari segi pelaksanaannya banyak bergantung kepada proses yang kita mahu lakukan itu," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di pekarangan Auditorium Masjid Al-Azim di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JAIM, Md Azhan Samat dan Setiausaha MAIM, Azman Aziz.

Januari lalu Adly mengumumkan penubuhan jabatan berkenaan selewat-lewatnya Mac dan akan dikendalikan MAIM terutamanya berkaitan penyeliaan dan penyelarasan sistem pendidikan Islam di sekolah agama JAIM sekolah agama rakyat dan sekolah agama swasta termasuk pusat tahfiz di Melaka yang berdaftar di bawah JAIM.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain Adly yang juga Pengerusi Amanah negeri, berkata beliau tidak berhasrat untuk memenuhi mana-mana jawatan di peringkat cawangan mahupun kawasan.

Bagaimanapun beliau akan cuba mempertahankan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa di peringkat kebangsaan.

"Di peringkat cawangan telah lepas dan selepas ini peringkat kawasan, di peringkat nasional bagaimanapun terpulang dan saya tidak ada khususkan mana-mana jawatan," katanya.

Pada majlis itu, Adly turut memuji inisiatif JAIM yang menggabungkan semua jabatan dalam agensi itu bagi meraikan majlis rumah terbuka sebagai medium mengukuhkan permuafakatan di antara kakitangan dan juga jabatan.