Jangan tertipu buat kali kedua: MB Pahang

Wan Rosdy menandatangani plak perasmian menaiktaraf Bangunan UMNO Bahagian Temerloh sempena majlis perasmian persidangan UMNO bahagian itu semalam.
Wan Rosdy menandatangani plak perasmian menaiktaraf Bangunan UMNO Bahagian Temerloh sempena majlis perasmian persidangan UMNO bahagian itu semalam.
A
A
A

TEMERLOH - Jangan tertipu buat kali kedua. Itu peringatan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terhadap orang Melayu.

Menurutnya, orang Melayu harus melihat kegagalan PH mengotakan janji mereka yang dibuat sebelum PRU14.

"Sememangnya kita ralat kekalahan kerajaan Persekutuan pada PRU14 kerana ia bukan sebab kita tidak tunaikan janji memandangkan banyak janji telah ditunaikan tetapi kita kalah kerana majoriti pengundi termakan dengan janji palsu.

"Jadi beritahu anak-anak kita dan masyarakat bahawa kita tidak boleh ditipu dua kali. Kita tidak boleh kalah dua kali dan perlu bangkit semula,"katanya pada Majlis Perasmian Persidangan UMNO Bahagian Temerloh di Dewan Datuk Abdullah Kia di sini semalam.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin; Ketua Pemuda UMNO bahagian, Azril Rizal Yusoh Mohd. Sarit; Ketua Wanita bahagian, Datuk Juhanis Abd. Aziz dan Ketua Puteri UMNO bahagian, Nurul Aslina Saman.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri memberitahu, semua ahli UMNO perlu menyedarkan masyarakat mengenai kegagalan PH melaksanakan janji.

Ujarnya, banyak janji seperti menghapuskan tol, menghapuskan hutang peneroka, menghapuskan kamera Sistem Penguatkuasan Automatik (AES) gagal dilaksanakan.

Menurutnya lagi, kecelaruan yang wujud dalam negara dan keresahan rakyat pada masa ini yang semakin terbeban juga memerlukan UMNO supaya bangkit membela rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai misi kerjasama UMNO dan Pas bagi memenangi PRU akan datang,Wan Rosdy optimis dengan kerjasama dua parti terbesar Melayu itu mampu menumbangkan PH.

Katanya, beliau melihat kerjasama itu secara positif yang akan dilaksanakan secara berterusan dalam membela rakyat dan negara.

"Memang kita saling memerlukan antara satu sama lain. Malah kerjasama UMNO dan Pas memang sudah terjalin dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini,"jelasnya.