Kerajaan PH terpalit kontroversi

A
A
A

KERAJAAN PH digegar lagi dengan gambar dan video seks yang didakwa membabitkan seorang menteri Kabinet dengan seorang ahli PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Gambar lucah dan klip video seks tersebut telah diviralkan melalui laman sembang sosial WhatsApp beberapa hari yang lepas.

Rakyat Malaysia yang terkenal dengan kencenderungan 'membawang' begitu teruja dengan gambar dan video tersebut sehingga tersebar dengan begitu pantas.

Bagi golongan cerdik pandai, mereka hanya memandang remeh kerana yakin teknologi canggih sedia ada boleh mengubah suai gambar dan video untuk niat jahat (mala fide) termasuk politik kotor. Namun storyboard kemelut tersebut bertukar corak dan menjadi sesuatu yang lebih serius apabila Haziq Abdullah membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi dalam video seks tersebut.

Beliau yang juga Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor dilaporkan berkata, polis akan menjalankan siasatan untuk menentukan kesahihan gambar dan video tersebut.

Haziq kemudiannya sekali lagi membuat pendedahan bahawa aksi seks di Sandakan itu bukan pertama kali kerana perbuatan sama pernah berlaku sebanyak tiga kali sebelum ini.

Sejurus kemudian, video baharu yang dilabel sebagai 'video 2/4' turut diviralkan. Mengikut label pada video tersebut, kemungkinan akan ada lagi video lain yang akan menyusul.

Artikel Berkaitan:

Reaksi awal Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai video itu ialah beliau mengaku tidak tahu menahu dan memerlukan bukti yang lebih jelas dan nyata.

Dr Mahathir berkata, video seks itu sengaja diada-adakan untuk memenuhi agenda politik kotor.

"Saya tidak percaya ia tulen. Sekarang, kita boleh banyak perkara dengan video dan gambar sekiranya kita pandai. Mungkin satu hari kamu akan lihat gambar saya pula macam itu,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Iskandar pula bertindak menggantung tugas kakitangannya itu serta-merta.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan PKR membela Azmin dan mengutuk sekeras-kerasnya penyebaran video seks tersebut sebagai sesuatu yang kotor dan tidak bermoral.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Wadah juga mengecam penularan gambar dan video tersebut sebagai sesuatu yang bertentangan dengan prinsip dan hukum agama.

Selepas beberapa hari berdiam diri, Mohamed Azmin akhirnya muncul untuk membuat penafian bahawa individu dalam video tersebut adalah dirinya. Beliau mendakwa bahawa ia satu fitnah dan konspirasi politik untuk merosak dan menjatuhkannya.

Rakyat memilih Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 untuk perubahan ke arah yang lebih baik daripada era pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang terpalit dengan berbagai masalah, isu dan skandal.

Setakat ini ramai yang kecewa dengan prestasi dan tahap pencapaian kerajaan PH kerana banyak lagi janji pilihan raya yang belum dilunaskan. Rakyat juga 'naik rimas' dengan pelan peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan kerana sehingga hari ini masih kabur.

Sudah tentu kontroversi video seks yang terbaharu ini membebankan lagi pentadbiran Dr Mahathir. Ia akan menguji Dr Mahathir dalam ketegasannya mencari kebenaran.

Pihak polis perlu menjalankan tugas mereka secara profesional dengan membuat siasatan yang rapi, adil dan saksama tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

Jika ada kes, Peguam Negara perlu bertindak. Jika tidak ada kes, nama baik dan reputasi individu yang berkaitan perlu dibersihkan.

Pemimpin PH perlu akur bahawa petunjuk bahawa rakyat semakin mual semakin ketara. Beberapa kajian menunjukkan bahawa tahap sokongan kepada Dr Mahathir dan PH telah menurun dengan mendadak akhir-akhir ini.

Realiti politik hari ini mudah. Jika PH tidak berubah dan tidak peka dengan tuntutan rakyat, mereka mungkin diganti dengan parti lain pada PRU15 nanti.