Perpaduan ummah bukan perkauman

Jeevabalan (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ketua Dewan Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid.
A
A

KUALA KEDAH - Perpaduan ummah yang sedang diusahakan oleh Pas dan UMNO terutamanya di Kedah bukan bermotifkan perkauman, demikian pandangan Ketua Pemuda MIC Kedah, Jeevabalan Jayaraman.

Menurutnya, kerjasama tersebut turut melibatkan usaha bersama pihaknya dan juga MCA yang banyak bergerak dan senada dalam pelbagai isu bagi memperkukuhkan blok pembangkang.

"Isu berkenaan perkauman tersebut hanyalah cakap-cakap oleh pihak luar sahaja kerana hubungan kerjasama itu adalah untuk mengukuhkan lagi perpaduan.

"Selama kita berbincang dan berada bersama Pas, UMNO dan MCA, tidak ada isu perkauman yang disentuh. Tiada unsur-unsur tersebut semasa kita duduk bersama dengan parti-parti ini.

"Kita mahu jadi pembangkang yang berwibawa dan kita mahu fokus matlamat bersama parti sebab di luar sana banyak yang bercakap bahawa Pas dan UMNO ini banyak unsur perkauman," katanya ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media dan Jamuan Aidilfitri Dewan Pemuda Pas Kedah di Restoran Ikan Bakar Anjung Kuala, Kuala Kedah, dekat sini semalam.

Jeevabalan berkata, pihaknya mengalu-alukan perpaduan ummah yang sedang diusahakan oleh Pas dan UMNO di mana piagam di antara kedua-dua parti bakal dimeteraikan pada Julai depan.

Menurutnya, MIC terutamanya di Kedah komited untuk membantu dan menjadikan blok pembangkang di negeri ini lebih berkualiti.