Tiga sekeluarga dera dua kanak-kanak ditahan

No Image Caption
A
A
A

PUCHONG - Tidak berperikemanusiaan!. Gelaran yang layak diberi kepada tiga sekeluarga termasuk seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang tergamak mendera dua kanak-kanak tanpa rasa simpati.

Lebih memilukan, ketika diselamatkan polis tengah hari tadi, kanak-kanak berusia tujuh dan lapan tahun terbabit ditemui dalam keadaan kurus kering dipercayai akibat kekurangan zat makanan.

Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, Balai Polis Serdang menerima maklumat awam berkaitan dengan kes kanak-kanak didera di Jalan PBP 1/2, Pusat Bandar Puchong pada jam 12.48 tengah hari.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis ke lokasi dan berjaya menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

"Hasil siasatan awal, polis menahan seorang lelaki bekerja sebagai penghantar gas berusia 33 tahun dan seorang wanita berusia 30 tahun.

"Turut ditahan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun. Kesemua suspek dipercayai mendera kedua-dua mangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa tinggal bersama semua suspek sejak tujuh tahun lepas selepas ibu dan bapa bercerai dan meninggalkan mereka.

Katanya, kanak-kanak tersebut mempunyai kesan dera hampir di seluruh badan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengetahui sejak bila kedua kanak-kanak tersebut didera.

Kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Serdang.

"Hasil pemeriksaan lanjut di rumah suspek berjaya menemui kayu cota, satu garpu perak dan paip getah keras yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa.

"Kesemua suspek yang merupakan saudara kepada mangsa akan dipohon reman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Petaling Jaya esok. Siasatan lanjut sedang diteruskan, "katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 Akta Kanak Kanak 2001.