PROKHAS akan diperluas ke kawasan orang asli seluruh negara

Teo Nie Ching
Teo Nie Ching
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan bercadang untuk memperluaskan lagi Projek Kelas Khas (PROKHAS) di kawasan yang mempunyai penempatan orang asli di negara ini dalam usaha untuk mengelakkan anak-anak komuniti itu terus tercicir daripada pelajaran akibat masalah sekolah yang jauh.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching ia akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka akan mengambil masa kerana perlu menyedarkan mereka tentang kepentingan pendidikan untuk memajukan orang asli.

"Setakat ini, kita mempunyai 23 murid orang asli yang berumur di antara tujuh hingga sembilan tahun dari suku kaum Batek melalui kelas PROKHAS yang dilancarkan sejak April lepas...ia merupakan pilot project dan sekiranya formula ini berjaya, kita akan lakukannya di tempat lain.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas penutup perasmian Simposium Antarabangsa Sekolah Berasrama Penuh (FRSIS) 2019 di SBP Integrasi Gombak, dekat sini, hari ini. Simposium yang berlangsung selama tiga hari itu bertemakan ‘Smart Industry Reforming The World’ melibatkan 324 pelajar sekolah berasrama penuh dari Malaysia dan luar negara seperti Jepun, Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Pada masa sama, Nie Ching berkata kementerian turut menyediakan pelbagai inisiatif lain bertujuan untuk menggalakkan komuniti orang asli agar mengikuti sesi pembelajaran di sekolah.

"Bagi menarik anak-anak Orang Asli ini untuk datang ke sekolah, semua murid yang mengikuti program PROKHAS ini akan menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), malah ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah juga diberi bantuan makanan sebagai satu proses galakan," katanya.

Sementara itu, Nie Ching menafikan dakwaan seramai 45,000 pekerja kontraktor pembersihan bangunan dan kawasan sekolah akan hilang pekerjaan, susulan tindakan kementerian yang melaksanakan format tender baru bermula tahun.ini.

Bagaimanapun beliau mengakui akan berlakunya pengurangan pekerja kontraktor pembersihan disebabkan penukaran formula pengiraan yang kini berasaskan kepada kawasan berbanding bilangan pendaftaran murid sebelum ini tetapi angkanya lebih rendah daripada 45,000.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak dapat memberikan jumlah yang tepat berhubung pengurangan pekerja kontraktor namun yang pasti ia bukanlah 45,000.

"Namun, kita akan cuba mendapatkan bajet tambahan RM3 bilion daripada Kementerian Kewangan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pekerja kontrak melibatkan bangunan dan kawasan sekolah di seluruh negara," katanya. -Bernama