Lelaki maut terseret 26 meter bersama motosikal

Keadaan motosikal mangsa yang rosak selepas kemalangan.
Keadaan motosikal mangsa yang rosak selepas kemalangan.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang lelaki maut apabila terseret sejauh kira-kira 26 meter bersama motosikalnya dalam kemalangan di Kilometer 326, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur masuk Plaza Tol Kerteh, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, mangsa yang juga pelajar lepasan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun, Muhammad Nur Afifi Abdul Rahman, 23, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di muka.

Kemalangan berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu dipercayai mahu pulang ke rumahnya di Taman Mesra 3, Jalan Balai Besar, Dungun.

Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggangnya dikatakan hilang kawalan sebelum terjatuh ke atas jalan raya sebelum terseret sejauh kira-kira 26 meter di kiri jalan lebuh raya berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah yang mengesahkan kejadian berkata, sepasukan anggota perubatan dari Klinik Kesihatan Kerteh yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

Katanya, mayat mangsa kemudian telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: