Wahab besarkan 13 anak hasil buat keranda

Wahab bersama sebahagian keranda yang disiapkan.
Wahab bersama sebahagian keranda yang disiapkan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiada siapa menyangka, hasil pembuatan dan penjualan keranda membolehkan sepasang suami isteri menampung perbelanjaan keluarga sehingga mampu membesarkan 13 orang anak.

Wahab Jusoh, 72, dari Kampung Padang Ujib, Manir mengakui pada peringkat permulaan, dia berdepan pelbagai cabaran, salah satunya penerimaan orang ramai terhadap punca pendapatannya itu.

"Mula-mula dulu biasalah, ada yang boleh terima kerja buat keranda ni. Ada juga yang tak boleh terima.

"Walaupun ada sindiran, apa sahaja pandangan orang saya terima dan teruskan pekerjaan ini sampai sekarang, saya boleh besarkan kesemua anak-anak berkat 'jasa' keranda.

"Sekarang keranda yang saya buat mampu menampung permintaan sehingga satu pertiga dari kawasan di Terengganu sehingga ke Paka, Dungun dan Kerteh, Kemaman," katanya yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam pembuatan keranda.

Menurutnya, harga keranda yang dijual antara RM230 hingga RM260 meliputi kos bahan dan pengangkutan.

"Setiap satu keranda kita dapat untung sekitar RM60. Secara kasar dalam sebulan dapat dalam RM3,000 untuk sara keluarga selama ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wahab menunjukkan kaedah tradisional yang sebelum ini digunakan untuk mengetam kayu keranda.
Wahab menunjukkan kaedah tradisional yang sebelum ini digunakan untuk mengetam kayu keranda.

Wahab atau lebih dikenali sebagai Pok De Keranda berkata, sebelum berkecimpung dalam pembuatan keranda, dia melakukan pelbagai pekerjaan antaranya menebang balak dan tukang rumah.

Katanya, produktivitinya bertambah selepas mendapat bantuan mesin pemotong dan pengetam kayu oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk diusahakan di kediamannya di Manir.

"Masa guna kaedah potong dan ketam kayu ara tradisional dulu susah juga nak siapkan sebuah keranda dalam sehari. Sekarang, dalam sehari boleh siap dalam tujuh hingga lapan keranda.

"Kita juga hantar keranda untuk kegunaan di hospital. Sekali hantar dalam 30 buah dan ada kalanya boleh digunakan sehingga 20 hari," katanya.

Wahab berkata, perusahaan miliknya itu kini dikendalikan anaknya, Mohd Shukry Wahab dengan dibantu dua pekerja, Saifullah Mamat, 34, dan Hassan Mamat, 52.

Dalam pada itu, Wahab menafikan cerita-cerita yang sering mengaitkan bunyi keranda sebagai petanda kematian.

"Selama ini tak pernah sekali pun saya dengar bunyi keranda bergesek. Jadi cerita-cerita begitu sebenarnya tak ada kesahihan," katanya.

Wahab bersama kayu yang siap dipotong untuk dijadikan keranda.
Wahab bersama kayu yang siap dipotong untuk dijadikan keranda.

Bercerita pengalaman membuat keranda, katanya, dia pernah menegur tindakan seseorang yang ingin bergurau 'menempah' keranda untuk digunakan di saat kematian.

"Mati tu pasti. Soal kematian bukan boleh buat bergurau. Tak boleh dibuat main," katanya.

Ditanya dari mana dia mendapatkan bekalan kayu untuk dibuat keranda, katanya, tidak sukar untuk mendapatkan kayu kerana kebanyakan masyarakat mengenalinya.

"Banyak kayu yang boleh dibuat keranda antaranya kayu pelam, durian, sentul dan kayu pulai.

"Jadi tak ada masalah untuk kita dapatkan kayu untuk buat keranda sebab bila orang tahu kita buat keranda, ada yang telefon suruh tebang, ada yang nak beri sahaja.

"Masalah bekalan setakat ini tak ada sebab kita belah dan tebang sendiri pokok yang hendak diberi atau dijual," katanya.

Wahab berkata, saiz standard bagi sebuah keranda ialah 18 inci iaitu 82 inci panjang dan lebar bawah 22 inci.

Dua pekerja Pok De Keranda menyiapkan keranda untuk memenuhi tempahan pelanggan.
Dua pekerja Pok De Keranda menyiapkan keranda untuk memenuhi tempahan pelanggan.

"Pernah juga saya buat keranda paling besar iaitu bersaiz tujuh kaki iaitu besar bahagian bawah 25 inci dan 20 bahagian atas dengan tujuh kaki panjang.

"Saya kira mungkin ada sedikit kesilapan waktu mengukur jenazah, sebab biasanya keranda untuk individu bersaiz besar pun paling besar 24 inci," katanya.