WAO gesa cuti paterniti sektor swasta tujuh hari

Sumitra Vivanathan
Sumitra Vivanathan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa supaya cuti paterniti (cuti kerana isteri bersalin) sekurang-kurangnya tujuh hari diperkenalkan dalam sektor swasta berikutan pindaan Akta Pekerjaan.

Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Vivanathan berkata, pada masa ini, kaum bapa di sektor swasta tidak layak daripada segi perundangan untuk cuti paterniti manakala kaum bapa dalam sektor awam menikmati tujuh hari cuti paterniti bergaji.

"Kementerian Sumber Manusia harus memperkenalkan sekurang-kurangnya tujuh hari cuti paterniti dalam sektor swasta, sama seperti cuti paterniti sekarang dalam sektor awam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kementerian telah mengumumkan cadangan pindaan kepada Akta Pekerjaan yang termasuk tiga hari cuti paterniti bergaji.

Sumitra berkata cuti paterniti penting dalam untuk memupuk sikap tanggungjawab bersama antara pasangan suami isteri yang memberi manfaat kepada bapa, ibu dan anak yang membolehkan bapa memainkan peranan aktif semasa kelahiran anak dan menyesuaikan dengan perubahan kehidupan apabila menjadi bapa.

Menurut laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa 2014, 79 daripada 165 negara mempunyai undang-undang yang memperuntukkan cuti paterniti. Filipina dan Singapura memperuntukkan cuti paterniti selama dua minggu.

Oleh itu, beliau berkata WAO telah melancarkan petisyen meminta sekurang-kurangnya tujuh hari cuti paterniti yang boleh dilayari di bit.ly/right4parents.- Bernama

Artikel Berkaitan: