Ahli PKR perlu sabar, tenang hadapi isu video 'panas'

Aminuddin (tengah) bersama kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan pada Majlis Hari Raya di jabatan itu hari ini.
Aminuddin (tengah) bersama kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan pada Majlis Hari Raya di jabatan itu hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menasihatkan kepada semua ahli parti supaya bersabar dan terus memberi sokongan kepada seluruh pucuk pimpinan dalam menangani isu video 'panas' yang membabitkan menteri Kabinet.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, sokongan penuh perlu diberikan bagi memastikan parti tersebut terus berada pada tahap yang terbaik, selain memastikan segala tohmahan yang dilemparkan terhadap parti itu dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Saya meminta semua ahli dapat bersabar dan memberi sokongan penuh kepada Presiden dan Timbalan Presiden dalam menangani isu tersebut dengan baik, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kesahihan video itu.

“Selagi tidak ada sebarang keputusan mahkamah, kita tidak boleh membuat sebarang andaian, biar pihak berkuasa menyiasat dengan teliti, dalam Islam pun selagi kita tidak nampak dengan mata sendiri, kita dilarang untuk melakukan fitnah.

“Pengakuan hanya dibuat oleh sebelah pihak sahaja, itu tidak menggambarkan apa-apa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Raya Jabatan Pendidikan Negeri yang turut dihadiri Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Dr Mohammad Rafie Ab Malek dan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Pkharuddin Ghazali di sini hari ini.

Menurutnya, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku, malah berharap ia tidak akan berulang lagi ketika kerajaan sedang berusaha untuk membangunkan negara.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, menteri Kabinet terbabit tidak perlu melepaskan semua jawatannya buat masa ini memandangkan siasatan terhadap kes tersebut juga baru sahaja berjalan dan belum ada sebarang keputusan lagi.

“Tiada keperluan (untuk berehat atau lepas jawatan), kes belum pun disiasat dan dibawa ke mahkamah, tekanan yang dibuat oleh sesetengah pihak itu tidak perlu pun sebenarnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan menafikan pembabitannya dalam video lucah yang tersebar sejak dua hari lalu dan menyifatkannya sebagai tuduhan jahat serta kejam.

Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

Baru-baru ini, Haziq Abdullah Abdul Aziz tampil membuat pengakuan terbabit dalam video itu yang didakwa dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.