Lima anggota polis direman kes dadah

Anggota polis direman bagi membantu siasatan kes memiliki dan mengambil dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Medeka
Anggota polis direman bagi membantu siasatan kes memiliki dan mengambil dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Medeka
A
A
A

MELAKA TENGAH - Lima anggota polis di negeri ini termasuk seorang yang bertugas di Kuala Pilah, Negeri Sembilan direman bagi membantu siasatan kes memiliki dan mengambil dadah dalam serbuan di pusat hiburan di sini semalam.

Kelima-lima anggota berkenaan yang tiba di pekarangan mahkamah lebih kurang jam 8.30 pagi direman tiga hari bermula hari ini selepas perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi.

Kesemua suspek berusia 23 hingga 34 tahun direman sehingga 16 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(3) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah mengesahkan kesemua anggota itu ditahan oleh Pasukan Risik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Melaka Tengah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya di sini.

Menurutnya, serbuan dijalankan kira-kira jam 10.30 pagi dan pemeriksaan di salah sebuah bilik karaoke di pusat hiburan menjumpai satu peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah ketamin.

"Manakala barang kes dan tujuh individu dalam bilik tersebut termasuk lima daripada mereka terdiri daripada anggota polis telah dibawa ke Pejabat BSJND Melaka Tengah untuk tindakan lanjut.

"Ujian saringan awal dadah dalam air kencing terhadap suspek dilakukan dan enam orang daripada mereka didapati positif dadah," katanya.

Artikel Berkaitan: