Wang simpanan RM14,600 dalam Tabung Haji lesap

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

BERA - Wang simpanan di dalam Tabung Haji bernilai lebih RM14, 000 yang dikumpul seorang wanita untuk ke tanah suci Makkah lesap setelah diperdaya sindiket Macau Scam.

Kejadian berkenaan berlaku pada Mac lalu tetapi wanita malang berkenaan hanya menyedari duit simpanannya hilang selepas membuat semakan penyata pada 3 Jun lalu dan membuat laporan polis semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa pada awalnya menerima panggilan daripada seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai polis dan mendakwa kenderaan mangsa terlibat dalam kemalangan maut di Seri Kembangan.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dituduh terlibat dengan kes pengubahan haram.

"Mangsa hanya membuat akaun Tabung Haji yang dibuka menerusi Bank Islam.

"Suspek yang menyamar sebagai polis mengarahkan mangsa menukar akaun Tabung Haji di Bank Rakyat dengan mendaftar nombor telefon baharu milik suspek.

"Tanpa syak wasangka, wanita berkenaan hanya mengikut sahaja arahan tanpa menyedari sudah ditipu," katanya.

Beliau berkata, mangsa terkejut apabila menyedari wang simpanan bernilai RM14, 600 sudah lesap dan hasil semakan terdapat empat transaksi secara online dilakukan ke akaun pihak lain.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa hanya menyedari diperdaya selepas tiga bulan berlalu ketika ingin memasukkan wang simpanan ke dalam akaun.

"Mangsa tidak dapat mengenal pasti akaun-akaun bank yang terlibat dalam transaksi," katanya.

Orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon.

"Jika tidak pasti atau was-was, orang ramai boleh hubungi pihak polis dengan segera untuk kepastian," katanya.