Malaysia lakar kejutan di separuh akhir pusingan akhir siri FIH

No Image Caption
A
A
A

SKUAD hoki wanita negara melakukan kejutan apabila menyingkirkan Perancis 3-2 pada perlawanan 'play-off’ untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Siri Akhir FIH di Kelab Hoki Banbridge, Ireland Utara, malam ini.

Kejayaan tersebut menyaksikan Malaysia menentang Korea Selatan, selaku juara Kumpulan B, pada aksi separuh akhir, Sabtu ini.

Biarpun Perancis menguasai sebahagian besar perlawanan tersebut, namun skuad bimbingan Dhaarma Raj Abdullah enggan menyerah apabila mendahului seawal minit kelima menerusi jaringan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Nuraini Rashid.

Gol pembukaan tersebut menyuntik semangat skuad Malaysian Tigress untuk terus melakukan serangan sehingga berjaya menggandakan jaringan pada minit kelapan menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Fatin Sukri.

Bagaimanapun, Perancis merapatkan jaringan melalui jaringan padang Delfina Gaspari pada minit kesembilan sebelum Hanis Onn meletakkan Malaysia pada kedudukan 3-1 dengan jaringan padang pada minit ke-15 pada suku pertama perlawanan.

Pada suku kedua perlawanan, Perancis sekali lagi merapatkan jaringan dengan gol pukulan sudut penalti oleh Guusje Van Bolhuis pada minit ke-26. Bagaimanapun, skuad Malaysia Tigress berjaya memberi tentangan sengit pada dua suku terakhir perlawanan untuk mengekalkan kedudukan serta mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Pada satu lagi aksi separuh akhir Sabtu ini akan menyaksikan tuan rumah, Ireland akan berdepan dengan pemenang perlawanan antara Scotland dan Republik Czech yang akan berlangsung lewat hari ini.

Dua pasukan terbaik daripada kejohanan ini akan layak ke pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2020 Tokyo pada Oktober dan November ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: