Pengganas Christchurch mengaku tidak bersalah

Brenton Tarrant didakwa dengan 51 tuduhan pembunuhan, 40 percubaan pembunuhan dan terlibat dalam aksi pengganas ketika insiden keganasan berlaku pada 15 Mac lalu.
Brenton Tarrant didakwa dengan 51 tuduhan pembunuhan, 40 percubaan pembunuhan dan terlibat dalam aksi pengganas ketika insiden keganasan berlaku pada 15 Mac lalu.
A
A
A

WELLINGTON - Dalang pembunuhan beramai-ramai di dua buah masjid di Christchurch mengaku tidak bersalah hari ini atas beberapa tuduhan membunuh serta aktiviti keganasan.

Brenton Tarrant akan dibicarakan tahun depan.

Hadir di Mahkamah Tinggi Christchurch menerusi rangkaian audio visual dari penjara kawalan ketat di Auckland, Tarrant hanya membisu ketika peguamnya, Shane Tait memberitahu bahawa tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Pengganas kulit putih itu menerima 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh dan terbabit dalam aktiviti keganasan susulan tragedi pembunuhan beramai-ramai pada 15 Mac lalu di bandar South Island.

Mahkamah juga diberitahu bahawa pemeriksaan mental ke atas tertuduh mendapati dia sihat untuk menjalani perbicaraan bagi tragedi pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah moden New Zealand itu.

Hakim Cameron Mander menetapkan 4 Mei tahun depan sebagai tarikh perbicaraan manakala Tait berkata, ia dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam minggu.

Tarrant berada dalam tahanan sementara menanti tarikh 15 Ogos untuk hadir semula di mahkamah bagi menghadiri sesi penilaian kes.

Mander juga melarang semua agensi berita dari merakam foto atau video penampilan Tarrant dan mengarahkan mereka menggunakan imej dari sesi pendengaran terdahulu iaitu pada April lalu. - AFP

Artikel Berkaitan: