Johor ucap terima kasih lulus RM142j untuk Sukma 2020

Sheikh Umar Ali
Sheikh Umar Ali
A
A
A

KLUANG - Kerajaan Negeri Johor mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana telah meluluskan peruntukan sebanyak RM142 juta untuk penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di negeri ini.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Ali berkata, perkembangan ini juga sudah pastinya dapat melicinkan lagi segala perancangan yang telah dan sedang dilaksanakan untuk Sukma Johor 2020 ini.

“Pastinya ini adalah berita terbaik yang kami terima daripada pihak kerajaan persekutuan dan kami mengucapkan terima kasih kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali yang banyak membantu.

“Sekalung tahniah juga saya ucapkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama-sama pasukan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas usaha, kerjasama dan bantuan yang dihulurkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, beliau percaya kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bukan sahaja dapat membantu penganjuran temasya ini, malah akan dapat membantu pembangunan sukan negeri dan negara yang lebih komprehensif pada masa akan datang.

Katanya, Sukma Johor pada tahun hadapan amat penting bagi negeri ini kerana penganjurannya juga bertepatan dengan tahun Wawasan 2020.

“Johor selaku tuan rumah akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan temasya Sukma Johor 2020 yang akan dianjurkan kelak adalah yang terbaik, baik dari segi penganjurannya mahupun kemeriahan dan semangat kesukanan atlet yang tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan: