TPM pengerusi mesyuarat bincang isu kesejahteraan mental

Wan Azizah Wan Ismail hari ini mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan isu-isu kesejahteraan mental FOTO: Facebook Wan Azizah
Wan Azizah Wan Ismail hari ini mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan isu-isu kesejahteraan mental FOTO: Facebook Wan Azizah
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan isu-isu kesejahteraan mental yang semakin membimbangkan di negara ini.

Mesyuarat itu melibatkan Kementerian Kesihatan; Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Pendidikan; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Dalam Negeri; Pejabat Menteri Agama dan Polis Diraja Malaysia.

"Insiden terkini pada 13 Mei lalu, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun telah menamatkan riwayatnya selepas 69 peratus netizen mengundi ‘M’ di status Instagramnya.

"Kejadian ini jelas menunjukkan bahawa tahap kesedaran kesejahteraan mental perlu ditingkatkan. Ini juga menunjukkan pengaruh dan kesan negatif media sosial ke atas generasi muda," kata Wan Azizah dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan pada 2015 mendapati prevalen masalah kesihatan mental dalam masyarakat berusia 16 tahun ke atas adalah 29.2 peratus iaitu peningkatan tiga kali daripada 10.7 peratus pada 1996.

"Pada 2017, kajian sama memfokuskan kepada remaja sekolah berumur 13 hingga 17 tahun, telah mendapati bahawa prevalen idea membunuh diri adalah 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012. Kedua-dua ini merupakan perkembangan yang membimbangkan dan memerlukan satu pendekatan holistik.

"Kemurungan merupakan ketidakupayaan yang utama dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kesan ke atas ekonomi Malaysia disebabkan penyakit mental dijangka mencecah AS$25.3 bilion pada 2030," katanya.

Sehubungan itu, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, mesyuarat berkenaan telah memutuskan lima perkara.

Artikel Berkaitan:

"Pertama, Jabatan Peguam Negara mengkaji cadangan mengeluarkan jenayah cubaan bunuh diri daripada Kanun Keseksaan. Kedua, cadangan Talian Kasih 15999 dan talian Befrienders tidak dikenakan caj telefon untuk dipertimbangkan.

"Ketiga, sistem nilai yang holistik perlu diterapkan dalam pelbagai aspek kehidupan khususnya sistem pendidikan. Keempat, pelancaran kempen ‘Deklarasi Keluarga’ sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang bertujuan menerapkan nilai-nilai kekeluargaan.

"Kelima, mengisytiharkan Oktober sebagai bulan kesedaran isu kesejahteraan mental dan melaksanakan Kempen Kesedaran Nasional: Let's Talk Malaysia dalam usaha kerajaan untuk menghapuskan stigma masalah mental," katanya.

Menurut beliau, kesejahteraan mental amat penting kerana melibatkan semua golongan masyarakat dan jantina.

"Masyarakat perlu lebih prihatin terhadap isu kesejahteraan mental. Saya menyeru mereka yang mengalami gangguan emosi atau perasaan supaya tampil mendapatkan bantuan," katanya.