Saya tak jumpa Najib berhubung keraguan dalam audit SRC: Ismee

Tan Sri Ismee Ismail - Foto Bernama
Tan Sri Ismee Ismail - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau tidak berjumpa Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keraguan dalam status pengauditan akaun SRC International Sdn Bhd kerana beliau perlu menyiasat perkara itu terlebih dahulu.

Ismee, 54, saksi ke-39 pendakwaan, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili bekas perdana menteri itu, pada hari ke-24 perbicaraan kes berkenaan.

Harvinderjit: Adakah kamu bersetuju bahawa, sebagai pengerusi, kamu sepatutnya melaporkan perkara itu kepada Najib?

Ismee: Saya tidak bersetuju. Saya perlu menyiasat tentang perkara yang tidak dilaporkan dan saya menghubungi (firma) audit Deloitte berhubung kelewatan itu. Mereka (Deloitte) berkata mereka tidak menerima beberapa pengesahan audit daripada pengurusan.

“Saya mengambil tanggungjawab dan bertanya apakah pengesahan audit yang tertunggak. Mereka (Deloitte) memberi saya maklumat yang antara lain, membabitkan bank tempatan. Ia ada di atas meja sama selama dua minggu dan saya menanganinya satu persatu. Saya mengambil tanggungjawab untuk menutup akaun.

Harvinderjit: Pada pandangan kamu, CEO SRC Nik Faisal (Nik Faisal Ariff Kamil) berbohong kepada Lembaga Pengarah (BoD), bahawa akaun tidak diaudit, adakah itu tidak cukup serius untuk membawa perkara itu kepada pengetahuan pemegang kepentingan?

Ismee: Saya tidak bersetuju.

Harvinderjit: Pada pandangan kamu, kamu begitu prihatin untuk bercakap secara khusus dengan perdana menteri tetapi tidak menyuarakan (kebimbangan kamu tentang Nik Faisal ) kepada BoD, pemegang kepentingan, menteri kewangan atau perdana menteri?

Artikel Berkaitan:

Ismee: Saya tidak (berbuat demikian) kerana masalah itu telah pun diselesaikan.

Harvinderjit: Adakah Nik Faisal mengambil apa-apa tindakan berhubung perkara ini?

Ismee: Tidak. Beliau kata beliau sibuk dengan perkara lain dan beliau minta maaf.

Pada satu peringkat, ketika disoal tentang isu lain, saksi itu ingin memberi penjelasan lanjut, bagaimanapun Harvinderjit mencelah dan berkata saksi itu boleh menjelaskan perkara itu dengan lebih mendalam semasa pemeriksaan semula oleh pendakwaan selepas ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram kemudian bangun dan berkata peguam tidak boleh menghalang saksi daripada menjawab.

“Adakah kamu takutkan jawapannya?" tanya Sithambaram.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. - Bernama