Muhammad Khalil lepas jawatan Ketua Pemuda Pas

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya itu bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk menerajui kepimpinan sayap parti.

Anak kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berkata, keputusan melepaskan jawatan dipegang selama sepenggal dibuat kerana Pas mempunyai ramai pemimpin pelapis berwibawa dan boleh diangkat dalam pemilihan sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-65 yang dijadualkan berlangsung 21 hingga 23 Jun ini.

“Saya tidak mengekalkan jawatan ini bagi memberi ruang dan peluang kepada kepimpinan baru untuk memimpin Dewan Pemuda Pas Pusat. Bagi saya, Pas mempunyai pelapis yang baik termasuk di semua peringkat di kawasan, negeri dan pusat. Jadi, saya mahu proses peralihan kepimpinan berlaku dengan baik dan tersusun.

“Ibarat kata orang Terengganu, kita tak nak bagi sumbak (padat) atas tu. Jadi, biar proses peralihan kepimpinan berlaku dengan perlahan dan baik supaya kita boleh lihat potensi kepimpinan baharu untuk pimpin Dewan Pemuda Pas dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meraikan kejayaan Pasukan inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam di sini semalam.

Sebelum ini, Muhammad Khalil yang memegang jawatan Timbalan Ketua Dewan Pemuda diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi sesi 2017 hingga 2019 bagi jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas menggantikan Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.

Dalam Muktamar Tahunan Pas ke-65 itu nanti, Muhammad Khalil bersama Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan dicalonkan bagi merebut jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Khalil turut menyangkal tanggapan bahawa status sebagai anak Presiden Pas memudahkan beliau untuk memenangi jawatan di dalam parti.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya ini cuma persepsi. Sebelum ini semasa saya bertanding jawatan ketua pemuda perkara sama ditimbulkan dan saya percaya ahli Pas matang dan akan buat keputusan terbaik dengan tidak melihat kepada faktor ini.

“Kalau diikutkan, ramai lagi anak pemimpin Pas yang lain. Jadi, itu tidak menjadi faktor utama,” katanya.