Perkhidmatan bas Seremban-KL untuk wanita mula diperkenal

Anthony Loke semasa meninjau keadaan bas ekpress di Terminal One Seremban hari ini.
A
A

SEREMBAN - Pengusaha bas ekspres di Terminal One di sini, mula memperkenalkan perkhidmatan bas untuk penumpang wanita sahaja bagi perjalanan Seremban ke Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan tersebut disediakan hanya pada waktu puncak sahaja iaitu dari jam 5 pagi hingga 7 pagi, dan 5 petang hingga 7 petang pada hari bekerja.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini ada menerima aduan daripada penumpang khususnya wanita yang terpaksa menaiki bas untuk bekerja di ibu negara setiap hari, yang mana mereka tidak selesa duduk bersebelahan dengan penumpang lelaki, sepanjang perjalanan di dalam bas.

“Disebabkan itu, kita telah meminta semua pengusaha bas ekspres di Terminal One ini menyediakan trip perjalanan Seremban ke Kuala Lumpur untuk penumpang wanita sahaja, sebanyak empat kali pada waktu puncak.

“Bukan sepanjang hari, tetapi pada waktu puncak sahaja, ini untuk keselesaan dan memudahkan penumpang wanita tanpa ada penumpang lelaki.

"Kita penuhi permintaan ini dan operator bas mesti menjalankan operasi untuk wanita sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan rasmi di Terminal One Seremban dekat sini hari ini.

Anthony Loke (kiri) semasa melakukan lawatan kerja rasmi di Terminal One Seremban hari ini.
Anthony Loke (kiri) semasa melakukan lawatan kerja rasmi di Terminal One Seremban hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Azlan Shah Parames Albakri dan beberapa Exco kerajaan negeri.

Tambahnya, setiap hari sekurang-kurangnya 2,000 penumpang menaiki bas ke ibu negara untuk bekerja.

Dalam pada itu, beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Seremban, memberi amaran kepada operator bas ekspres supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan kadar tambang yang telah ditetapkan bagi laluan Seremban-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Seremban.

Katanya, harga tambang syiling bagi laluan tersebut kekal sebanyak RM6.50 sehala, malah pihaknya melalui APAD telah meminta semua pengusaha syarikat bas untuk selaraskan harga tersebut bagi memudahkan pengguna.

“Pada 1 Jun lalu, saya menerima beberapa aduan daripada orang ramai yang bertanya kepada saya mengapa tambang dari Seremban ke Kuala Lumpur naik sehingga RM7, jadi saya telah membuat pengesahan dengan pihak APAD bahawa tambang yang kita luluskan iaitu tambang siling maksimum RM6.50, jadi peningkatan sehingga RM7 itu tidak sah.

“Jadi kita telah arahkan semua syarikat pengendali bas untuk menyelaraskan semula tambang mereka dan saya telah periksa dengan penumpang dan semalam mereka (operator bas) telah turunkan balik tambang kepada RM6.50. “ Kita akan sentiasa pantau dan periksa, malah mana-mana syarikat yang tak patuhi peraturan kadar tambang itu, tindakan tegas akan diambil termasuk gantung lesen,” katanya.

Tambahnya, mana-mana penumpang yang mempunyai maklumat mengenai kenaikan kadar tambang melebihi kadar yang ditetapkan, mereka diminta untuk membuat aduan kepada APAD, bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan.