Orang asli Bateq: Kanak-kanak stabil, bapa makin pulih

Waytha Moorthy (kanan) mendengar penerangan daripada Dr Selasawati hari ini.
A
A

KOTA BHARU - Kanak-kanak orang asli Kuala Koh, Gua Musang yang kritikal akibat radang paru-paru dilaporkan stabil manakala bapanya menunjukkan tanda-tanda pulih dan dijangka dibenarkan keluar wad beberapa hari lagi.

Menteri di Jabatan Perdana, Senator P Waytha Moorthy berkata, Nasri Rosli, 3, didapati tenat selepas dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Ahad lalu.

Menurutnya, Rosli Jong, 30, pula dimasukkan ke bilik pengasingan wad 10 HRPZ lima hari lalu selepas menunjukkan tanda-tanda sakit yang sama ketika menjaga anaknya itu.

“Kanak-kanak ini tenat tapi stabil dan saya berpuas hati dengan rawatan rapi yang diberikan oleh hospital malah saya kagum dengan komitmen yang ditunjukkan kakitangan terhadap pesakit ini.

“Saya juga berkesempatan melawat Rosli yang mungkin dibenarkan keluar atau ditempatkan berhampiran anaknya tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar lawatan dua pesakit orang asli Kuala Koh yang turut dihadiri Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali di Unit Rawatan Rapi Paediatrik HRPZ II di sini hari ini.

Waytha Moorthy melawat Rosli yang ditempatkan di bilik pengasingan wad 10 HRPZ, sejak lima hari lalu.
Waytha Moorthy melawat Rosli yang ditempatkan di bilik pengasingan wad 10 HRPZ, sejak lima hari lalu.

Waytha Moorthy berkata, jumlah pesakit terkini hanya akan diperoleh selepas taklimat di Gua Musang petang ini dan pihaknya akan ke HKK serta Hospital Gua Musang (HGM) untuk melihat perkembangan tahap kesihatan pesakit lain.

Terdahulu, sebanyak 14 kematian melibatkan orang asli Bateq di Kuala Koh, Gua Musang dilaporkan berlaku bermula 2 Mei hingga 7 Jun lalu.

Seorang wanita dan kanak-kanak berusia tiga tahun dilaporkan kritikal, masih dirawat masing-masing di HKK dan HRPZ II termasuk jumlah yang dirawat pada Ahad lalu yang mencecah 83 pesakit.

Daripada jumlah itu, seramai 37 pesakit luar, 32 di HGM, 10 di HKK dan tiga lagi di rumah inap kesihatan orang asli, Gua Musang malah jumlah itu mungkin berubah petang ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Sah orang asli Bateq maut akibat pneumonia

Mayat orang asli depan mata