Sarawak giat capai Wawasan Negeri Termaju 2030

Abang Johari Tun Openg
Abang Johari Tun Openg
A
A
A

SIBU - Sarawak sedang giat bergerak ke arah mencapai wawasan menjadi negeri termaju di negara ini menjelang tahun 2030 dengan menggunakan pendekatan dan idea baru serta teknologi terkini dalam melaksanakan pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, tumpuan diberikan kepada pembangunan ekonomi, pembangunan infrastruktur luar bandar, sektor pertanian dan penyediaan lebih banyak rumah harga berpatutan di kawasan bandar dan luar bandar.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan dana yang besar bagi tujuan berkenaan manakala keluaran dalam negeri kasar (GDP) Sarawak pada tahun ini yang diramalkan pada kadar enam peratus akan menjadi pemangkin ke arah itu.

“Keajaan telah memberikan tumpuan kepada pembangunan luar bandar dengan peruntukan dana yang besar termasuk untuk menyediakan bekalan air (paip), elektrik dan perumahan di kawasan luar bandar dan dalam bandar.

“Saya yakin dengan suntikan dana ini kita akan dapat membangunkan masyarakat kita dengan satu pendekatan dan suntikan subsidi bagi membina rumah-rumah cara baru supaya rumah boleh dibeli dengan harga berpatutan, tidak terlalu mahal,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Gawai Raya Bahagian Sibu 2019 di Taman Harmoni di sini malam tadi.

Selain itu katanya, kerajaan sedang giat memperlengkapkan lebih ramai lagi generasi muda di negeri ini dengan ilmu terkini serta kemahiran termasuk dalam bidang ekonomi dan teknologi.

Bagi mencapai status tersebut juga, Sarawak katanya sedang menerokai bidang-bidang yang boleh mencetuskan landskap dan cara baru dalam pembangunan ekonomi serta menggunakan pendekatan dan idea baru untuk menambah nilai sumber-sumber yang banyak dimiliki Sarawak.

Tanpa pendekatan dan idea baru, sumber-sumber yang banyak itu tidak dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk membangunkan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Bagi sektor pertanian, Ketua Menteri berkata, rakyat luar bandar yang memiliki tanah digesa supaya mengusahakan pertanian dengan menggunakan teknologi terkini termasuk sistem fertigasi kerana produk hasil pertanian mempunyai pasaran besar.

Menurutnya, Sarawak mempunyai outlet khas di Singapura yang boleh digunakan untuk memasarkan produk hasil pertanian ke luar negara.

Dalam pada itu juga, Abang Johari yang juga pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, rakyat negeri ini perlu memberi peluang dan sokongan padu kepada kerajaan negeri yang dipimpin dan dianggotai anak-anak Sarawak untuk mentadbir sendiri negeri ini ke arah kecemerlangan.

“Ini kerana kita tahu ramuannya, kita tahu budayanya dan kita mempunyai satu tanggungjawab bersama untuk kita menjadikan pendekatan pembangunan yang lebih menyeluruh dan inklusif,” jelasnya.

Turut hadir pada majlis anjuran anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Zon Sibu itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah dan Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapaee. - Bernama