SPRM siasat semua laporan secara profesional: Latheefa

A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat semua laporan secara profesional dan tidak berpihak kepada sesiapa termasuklah dakwaan terhadap seorang menteri kanan yang dikaitkan dengan 'video intim' dengan seorang lelaki.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Beebi Koya berkata, beliau juga tidak akan terlibat dalam siasatan kes yang sedang hangat diperkatakan itu.

Sebaliknya, beliau menegaskan siasatan kes itu itu akan dikendalikan oleh timbalan dan pasukan timbalannya beliau.

"Saya tidak akan terlibat dalam apa-apa cara, sama ada siasatan atau membuat keputusan.

"SPRM akan menyiasat semua laporan secara profesional termasuklah laporan yang dibuat Datuk Lokman Adam kepada kami (SPRM) berhubung dakwaan terhadap seorang menteri Kabinet," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sekretariat Suara Rakyat semalam, membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan salah laku seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, laporan itu adalah berhubung satu dokumen yang diterimanya daripada seorang individu mengenai satu pemindahan dana daripada dua bank kepada akaun milik pemimpin berkenaan yang berlaku pada 19 Disember 2017.

Lokman berkata, laporan tersebut juga sebagai memberi peluang kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Latheefa Koya untuk beliau membuktikan di bawah kepimpinannya akan menyiasat sesiapa sahaja tanpa pilih kasih.

Awal pagi tadi seorang Setiausaha Sulit kepada seorang Timbalan Menteri membuat pengakuan mengejutkan apabila bersumpah dia merupakan individu dalam sebuah klip video seks bersama seorang lelaki mirip wajah menteri.

Dalam video berdurasi 30 saat yang dimuat naik lelaki yang dikenali Muhamad Haziq Aziz di Facebooknya itu juga turut meminta SPRM menyiasat pemimpin berkenaan kerana didakwa terlibat dalam korupsi.

Menurut Muhamad Haziq yang juga Ketua Pemuda PKR Santubong itu, perlakuan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, Sabah ketika pilihan raya kecil Parlimen Sandakan.

Terdahulu, semalam tular tiga video dan gambar intim mirip seorang menteri Kabinet.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia