Video lama Cina sembelih ayam tular semula

Video Cina sembelih ayam pada 2017 ini ditular semula. Gambar kecil: Abdul Zaki Md Zain
A
A

KUANTAN - Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan mengesahkan video tular seorang lelaki melakukan penyembelihan ayam disyaki berbangsa Cina, adalah video lama yang pernah tular pada 2017.

Kadi Kuantan, Abdul Zaki Md Zain berkata, pemantauan telah dilakukan mengikut prosedur dan mendapati penyembelihan itu dibuat di sebuah premis bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Menurutnya, pihaknya mengambil maklum berkenaan video tular di media sosial tersebut dan ia adalah video sama yang pernah tular pada 2017.

"Premis tersebut tidak terikat dengan mana-mana piawaian halal. Tiada sebarang tindakan berkaitan halal boleh dikenakan kepada premis tersebut selama tiada sebarang penyalahgunaan perakuan atau penandaan halal dibuat.

"Jualan ayam itu juga adalah bertumpu di pasar pagi di kawasan tersebut sahaja yang mana majoriti peniaga dan pelanggannya adalah berbangsa Cina.

"Sijil Pengesahan Halal Malaysia adalah bersifat sukarela, dan tiada sebarang halangan bagi mana-mana pihak untuk menjalankan perniagaan secara sah," katanya.

Abdul Zaki menegaskan, tidak ada mana-mana orang atau pihak sama ada Islam atau bukan Islam boleh membuat sebarang perakuan, atau menggunakan apa-apa ungkapan atau penandaan bagi menunjukkan bahawa mana-mana makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu adalah halal kecuali setelah diperakui oleh pihak berkuasa yang berwibawa, Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN).

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Sinar Harian bagi mendapatkan pengesahan video penyembelihan yang didakwa berlaku di daerah ini dan dikhuatiri dijual kepada umat Islam sempena hari raya.

Abdul Zaki berkata, orang ramai juga diingatkan untuk berhati-hati dan membuat penilaian bijak sekiranya melihat sebarang penandaan atau perakuan halal oleh pusat penjualan daerah ini.

Pihaknya mengesahkan setakat ini tiada mana-mana premis atau pusat jualan daerah ini yang mendapat pengesahan halal, pengesahan hanya diberikan kepada syarikat pengeluar sahaja.

"Para pengguna adalah dinasihatkan membeli ayam yang telah mendapat pengesahan halal daripada JAKIM atau badan-badan Islam luar negara yang diiktiraf JAKIM.

"Pengguna boleh merujuk kepada label bungkusan atau penandaan yang tertera (rujuk gambar), dan pengguna berhak menolak produk yang tiada penandaan yang jelas atau meragukan dari sudut bekalannya. Semakan status halal boleh dibuat melalui laman web www.halal.gov.my.

"Pihak kami memohon kerjasama semua pihak untuk merujuk kepada pihak-pihak yang berautoriti sebelum membuat sebarang sebaran bagi mengelakkan tercetusnya suasana tidak tenteram kepada orang awam," katanya.