Saya hanya calon ‘underdog’: Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan beliau sebagai calon kurang dikenali atau ‘underdog’ jika dibandingkan dengan tiga lagi calon lain yang akan merebut jawatan Naib Presiden Pas dalam pemilihan parti sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-65 yang dijadualkan berlangsung akhir bulan ini.

Malah, katanya, beliau sebenarnya agak ‘berat’ untuk bertanding jawatan sebagai Naib Presiden Pas kerana tiga calon lain telah menggalas tanggungjawab dengan begitu baik di dalam parti itu.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata, beliau tidak akan menarik diri daripada terus bertanding bagi menghormati pencalonan yang telah dibuat oleh akar umbi.

“Memang hati saya rasa berat (untuk bertanding) kerana mengenangkan yang (tiga calon lain) itu adalah insan-insan yang begitu hebat serta telah menjalankan tugas mereka dengan begitu baik dan amat cemerlang.

“Mereka adalah abang-abang saya yang banyak beri tunjuk ajar dalam pelbagai perkara. Namun, walaupun berat hati, atas dasar mahu menyuburkan ruang demokrasi yang ada dalam parti, saya teruskan bertanding sebagai calon ‘underdog’," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Meraikan Kejayaan Pasukan Inovasi Panji Innovation Laboratory (Pi Lab) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam dalam Pertandingan European Exhibition of Creativity And Innovation (Euroinvent) 2019, Romania di Dewan Jubli Emas SMK Panji Alam di sini hari ini.

Muktamar Tahunan Pas Ke-65 yang akan berlangsung di Pahang pada 21 hingga 23 Jun ini menyaksikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu.

Bagi jawatan Naib Presiden Pas, Ahmad Samsuri yang juga Ketua Pengarah Pilihan raya Pas Pusat serta Yang Dipertua Pas Marang bersama tiga penyandang sebelum ini iaitu Idris Ahmad, Datuk Nik Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad dicalonkan untuk bertanding jawatan itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pemilihan parti yang berlangsung setiap dua tahun sekali itu diyakini akan berjalan dalam suasana harmoni.

“Proses ini adalah menjurus kepada urusan dalaman ‘keluarga’ dan akan berlangsung dalam suasana yang tenang.

“Jadi, saya serahkan semua keputusan kepada perwakilan yang akan menentukan kalah atau menang,” katanya.