Nak beraya atau nak duit raya?

No Image Caption
A
A
A

SELAMAT Hari Raya Aidilfitri kepada pembaca Sinar Harian semua! Macam mana sambutan raya? Mesti meriah dan penuh kasih sayang. Apatah lagi dapat bertemu sanak saudara sambil menikmati pelbagai juadah yang disediakan.

Ketupat, rendang dan lemang terus menjadi pengikat kasih sayang. Semua orang duduk bermaaf-maafan, yang jauh didekatkan dan yang dekat dirapatkan menjadi rangkuman kemeriahan sepanjang seminggu beraya.

Kalau tanya macam mana sambutan raya Merak Jalanan, tiada banyak beza dan ceria seperti orang lain juga. Selepas istiqamah berpuasa sepanjang Ramadan, rasa seronok dan meriahnya sambutan hari raya sama seperti orang lain juga.

Semua amalan sunnah pada hari raya seharusnya menjadi tumpuan untuk dilaksanakan sekali gus mendekatkan lagi kita dengan erti Syawal yang sebenar. Namun, Merak Jalanan sedih bila terdapat dalam kalangan umat Islam hari ini terlalu ghairah mengejar laba duit raya hingga tergelincir daripada batas pengertian sambutan yang sebenar.

Sejak bila berapa jumlah duit raya yang diberi menjadi isu utama hinggakan ada dalam kalangan kita sanggup sindir-menyindir, tidak puas hati dan membawang hinggakan pelukan kasih sayang dan ciuman tangan memohon maaf sempena mulianya Aidilfitri bertukar tidak ikhlas dan kebencian gara-gara sikit atau banyaknya duit raya yang diterima.

Trend beraya kini semakin berubah. Sebahagian ibu bapa seolah-olah melihat pemberian duit raya dilihat semacam satu perkara wajib dalam tradisi ziarah kaum keluarga. Anak-anak generasi konvergen mula meminggirkan tradisi ziarah pengikat silaturahim dengan menjadikannya sebagai misi mengumpul duit raya.

Merak Jalanan masa kecil dulu tak minta duit raya pun dapat. Merak Jalanan tidak ghairah pun kalau dapat duit raya malah tak kecil hati pun kalau beraya salam kosong. Sebab Merak Jalanan nak berhari raya, bukan nak duit raya!

Artikel Berkaitan: