Lebih 8,000 terima Kad Sihat Johor

Dr Sahruddin (tiga dari kanan) menyampaikan kerusi roda kepada isteri Sarjan Jamil, Mastura Mohamed pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Permas, malam tadi.
Dr Sahruddin (tiga dari kanan) menyampaikan kerusi roda kepada isteri Sarjan Jamil, Mastura Mohamed pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Permas, malam tadi.
A
A
A

PASIR GUDANG -Lebih 8,000 rakyat di negeri ini terdiri daripada golongan isi rumah B40 telah menerima Kad Sihat Johor.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, malam tadi.

Sehubungan itu beliau menyeru semua pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) segera menyampaikan kad tersebut untuk penerima di kawasan masing-masing.

"Setakat ini ada lebih 8,000 Kad Sihat yang telah diagihkan. Jadi saya harap semua DUN boleh menyampaikan kad sihat di kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Bukit Dahlia, lewat malam tadi.

Sebelum ini, kerajaan negeri dilaporkan akan mengedarkan 14,000 Kad Sihat Johor kepada golongan isi rumah B40 bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan di 248 klinik panel berdaftar di seluruh negeri itu.

Suhaizan (kiri) dan Che Zakaria (dua dari kiri) sempat beramah mesra dengan penerima Kad Sihat pada majlis tersebut.
Suhaizan (kiri) dan Che Zakaria (dua dari kiri) sempat beramah mesra dengan penerima Kad Sihat pada majlis tersebut.

Setiap kawasan DUN mempunyai had maksimum 250 pemohon yang ditawarkan mengikut kategori keluarga atau individu.

Penerima Kad Sihat Johor akan mendapat kemudahan pembiayaan rawatan kesihatan asas di klinik swasta terpilih (klinik panel) dengan had pembiayaan sehingga RM500 setahun.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis tersebut, seramai 20 orang menerima Kad Sihat Johor yang disampaikan pejabat DUN Permas oleh Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat dan Exco Wanita dan Keluarga, Liow Cai Tung.

ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh turut menyampaikan bantuan kerusi roda kepada anggota polis, Sarjan Jamil Yusof, 58 yang menderita strok.

Acara tahunan itu dihadiri sekitar 5,000 orang tetamu dari sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang termasuk pimpinan negeri ini.