Wanita selaku pembuat keputusan

A
A

PERKASA wanita dilihat menjadi aspirasi Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha merealisasikan sasaran kuota 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan dan mengisi jawatan kanan di jabatan-jabatan kerajaan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Mengikut laporan media sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin juga berkata, sasaran itu akan dicapai dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun lagi.

Usaha Dr Mahathir itu dilihat semakin menghampiri matlamatnya apabila beberapa jawatan utama sektor awam yang sebelum didominasi lelaki kini telah diberikan kepercayaan kepada kaum hawa.

Terbaharu ialah lantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, seorang peguam kanan yang merupakan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty.

Pelantikan berkenaan telah mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk juga dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan, khususnya daripada parti PKR.

Latheefa sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Biro Hal Ehwal Undang-Undang PKR. Beliau mendapat kepercayaan Dr Mahathir selepas Datuk Seri Mohd Shukri Abdull meminta agar kontraknya sebagai orang nombor satu SPRM ditamatkan setahun lebih awal.

Bagaimanapun, sosok tubuh yang menjadi kontroversi itu telah melepaskan keahlian PKR pada 3 Jun dan lantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dibuat pada 4 Jun setelah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Latheefa mendapat pendidikan undang-undang dari University of London pada tahun 1997 sebelum memperoleh Sijil Amalan Guaman Malaysia yang melayakkan beliau berkhidmat sebagai peguam profesional di Malaysia.

Pelantikan Latheefa menjadi kontroversi paling tegang ketika ini kerana lantikannya dikecam dari dalam dan luar kerajaan.

Lebih menjadi tumpuan apabila Perdana Menteri dikatakan membelakangkan manifesto Pakatan Harapan yang mahukan pelantikan jawatan utama dalam kerajaan hendaklah melalui jawatankuasa Parlimen dan juga lantikan bebas politik.

Walaupun Latheefa telah melepaskan keahliannya dalam PKR, namun implikasi dan tekanan terhadap wanita itu cukup besar dan kuat.

Walaupun dikecam, Perdana Menteri berkata, keputusan mengenai lantikan itu muktamad dan beliau tidak akan membuat tindakan U-Turn.

Selain Latheefa, kerajaan juga telah melantik Pengerusi Maybank Asset Management Group Bhd (MAMG), Dr Hasnita Hashim sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi menggantikan seorang lelaki iaitu bekas senator Datuk Dr Awang Adek Hussin pada 1 Oktober lalu.

Wanita berkelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang Nuklear Fizik dari Oxford University itu dipertaruhkan untuk menguruskan salah sebuah agensi terbesar melibatkan kepentingan luar bandar.

Dr Hasnita mempunyai berpengalaman selama 26 tahun dalam pengurusan kewangan global selain pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Guidance Investments, sebuah anak syarikat Guidance Financial Group.

Dalam pada itu, kerajaan juga telah melantik seorang ahli perniagaan wanita untuk memimpin Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

AIM kini dipimpin Datuk Junaidah Kiting iaitu pengusaha kosmetik De’ Wajah yang membangunkan jenama itu lebih 25 tahun lalu.

Selain itu, Dr Mahathir juga menaruh kepercayaan terhadap seorang lagi wanita bagi menjawat jawatan utama iaitu Ketua Hakim Negara.

Pelantikan Tengku Maimun Tuan Mat berkuat kuasa 2 Mei lalu dibuat selaras dengan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang bersara pada 12 April.

Antara nama lain yang diangkat pentadbiran Mahathir selepas menjadi Perdana Menteri buat kali kedua ialah Tan Sri Zeti Aziz selaku Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Kita juga harus berbangga kerana mempunyai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama dalam sejarah Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Bagaimanapun, sasaran 30 peratus wanita belum sampai lagi ke dalam barisan Kabinet Dr Mahathir.

Setakat ini, hanya 19 peratus lantikan menteri diwakili wanita manakala 16 peratus bagi timbalan menteri.

Memang lantikan melibatkan wanita ini adalah satu tamparan hebat buat lelaki dalam cabaran dunia tanpa sempadan zaman ini.

Tetapi perbezaan gender bukan lagi halangan, sepatutnya wanita dan lelaki perlu bersama-sama bersaing dalam pasaran kerja lebih terbuka.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia