MIDF Research ulang saranan 'beli' ke atas MAHB

A
A

KUALA LUMPUR - MIDF Research mengulangi saranan ‘beli’ ke atas Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan harga sasaran yang tidak berubah pada RM8.80 sesaham.

Dalam nota hari ini, firma penyelidikan itu berkata, MAHB berada pada landasan yang betul untuk mencapai unjuran trafik penumpang tahunan dengan mencatat trafik penumpang pada Mei 2019 bagi lapangan terbang itu (tidak termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGA) sebanyak 7.9 juta penumpang, meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun (YoY).

Bagi asas kumulatif, trafik penumpang bagi lapangan terbang di Malaysia bagi lima bulan pertama tahun ini menyaksikan peningkatan 4.1 peratus tahun ke tahun kepada 42 juta, menyumbang 41 peratus kepada anggaran pertumbuhan trafik penumpang bagi tahun kewangan 2019 MAHB bernilai 102.5 juta.

Trafik domestik bagi lapangan terbang di Malaysia pada Mei 2019 meneruskan aliran peningkatan menerusi kenaikan 3.5 peratus tahun ke tahun kepada 3.8 juta penumpang meskipun bagi Ramadan yang bermula 6 Mei, katanya.

Menurut firma penyelidikan itu, impak daripada kekurangan perjalanan semasa Ramadan diimbangi oleh cuti sekolah yang bermula akhir Mei, diikuti cuti perayaan Aidilfitri.

MIDF Research berkata, trafik antarabangsa kekal kukuh dengan trafik penumpang antarabangsa pada Mei 2019 bagi operasi Malaysia meningkat satu peratus tahun ke tahun untuk mencapai empat juta penumpang.

Katanya, kedudukan industri pelancongan yang baik juga dijangka mengimbangi impak levi pelepasan, yang dijangka dilaksanakan pada bulan ini.

“Kami berpendapat momentum semasa trafik penumpang akan terus menyediakan asas yang kukuh untuk menjana peningkatan pendapatan di masa hadapan.

“Ini akan disokong oleh dasar visa akomodasi di Malaysia bagi pelancong dari China dan India yang akan menimbulkan tekanan daripada levi pelepasan antarabangsa yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, faktor pertumbuhan yang lain termasuklan kesalingrangkaian daripada pesawat syarikat penerbangan antarabangsa ke lokasi seperti Langkawi.

“Kami percaya jumlah penumpang MAHB mampu melepasi 100 juta pada 2019 sambil mengekalkan pertumbuhan konservatif yang relatif sebanyak 3.5 peratus atau 102.5 juta penumpang,” kata MIDF.

Pada 11.27 pagi hari ini, saham MAHB meningkat tiga sen kepada RM7.89. - Bernama