Rembat beg tangan dalam masjid

Suspek masuk ke ruang solat perempuan dengan menutup separuh muka sebelum melarikan dua beg tangan dalam kejadian di Masjid Mukim Binjai, Kemaman, pagi tadi.
Suspek masuk ke ruang solat perempuan dengan menutup separuh muka sebelum melarikan dua beg tangan dalam kejadian di Masjid Mukim Binjai, Kemaman, pagi tadi.
A
A
A

KEMAMAN - Genap seminggu Ramadan, seorang remaja lelaki tergamak merembat dua buah beg tangan wanita di dalam Masjid Mukim Binjai, di sini, ketika jemaah sedang menunaikan solat Subuh kira-kira jam 5.45 pagi tadi.

Perbuatan suspek mencuri dan melarikan dua beg tangan itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid tersebut sebelum rakaman itu tular di aplikasi WhatsApp.

Berdasarkan rakaman itu, suspek yang memakai seluar panjang berwarna gelap dan kemeja T berwarna biru serta menutup separuh mukanya dengan baju dipakainya dilihat memasuki ruang solat wanita sebelum merembat dua beg tangan milik jemaah.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, polis sekarang sedang mengesan suspek dengan tersebarnya rakaman kejadian itu.

Katanya, susulan itu orang ramai yang mengenali suspek diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

Katanya, berdasarkan rakaman CCTV di luar masjid, suspek kelihatan mundar mandir di pekarangan masjid tersebut sebelum menceroboh dan memasuki ruang solat perempuan.

"Kejadian hanya disedari selepas jemaah wanita selesai menunaikan solat sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak pengurusan masjid.

"Pihak pengurusan masjid kemudiannya memeriksa rakaman CCTV," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan seorang diri dan wajahnya yang tidak ditutup dirakam di pekarangan masjid.

"Mereka yang mengenali suspek diharap dapat tampil bantu siasatan agar kita dapat cegah kes jenayah di masjid seperti ini daripada terus berlaku," katanya ketika dihubungi.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman menerusi talian 09-8592222.