Orang asli benteng utama jaga keseimbangan alam

Foto Bernama. Gambar kecil, Dr Rusaslina.
Foto Bernama. Gambar kecil, Dr Rusaslina.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua masyarakat orang asli termasuk suku kaum Bateq sangat penting kepada negara kerana mereka adalah benteng utama yang menjaga biodiversiti dan keseimbangan alam.

Menurut ahli antropologi dari Universiti Malaya (UM), Dr. Rusaslina Idrus, perkara tersebut telah dibuktikan menerusi kajian-kajian saintis yang mendapati bahawa orang asal mampu menjaga alam.

"Ini kerana mereka mempunyai pengetahuan untuk menjaga hutan sebab itu penting hak tanah kepada mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan, Rancangan Pengajian Gender, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, berkata, apabila hutan di negara ini musnah oleh aktiviti pembalakan dan perlombongan yang tidak terkawal maka ia memberi kesan besar kepada masyarakat orang asli.

"Ini adalah satu krisis dan apa yang berlaku di Gua Musang itu adalam satu krisis alam sekitar dan jika berlaku kepada kumpulan kecil tidak mustahil ia boleh berlaku kepada kumpulan yang lebih besar," jelas beliau.

Ujar beliau, dianggarkan terdapat 215,000 orang asli di negara ini yang terdiri daripada 18 suku kaum dan antara yang paling sedikit ialah terdiri daripada suku kaum Bateq.

"Mereka ini antara yang istimewa kerana masih ramai yang tinggal di dalam hutan dan sangat dekat dengan alam sekitar," ujar beliau.

Bagaimanapun ketika diajukan persoalan kemungkinan kaum itu akan pupus, Rusaslina berkata, beliau menolak perkataan itu digunakan kerana orang asli tidak boleh disamakan dengan spesis eksotik sebaliknya mereka ada rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah isu kemanusian dan tidak boleh melihat mereka sebagai spesis eksotik dan saya tidak selasa dengan istilah pupus kerana kita perlu fokus bagaimana untuk menangi krisis yang sedia ada"

"Kita perlu hormati mereka walaupun cara hidup mereka berbeza dan mungkin banyak yang kita boleh belajar dari mereka dari segi penjagaan alam sekitar " tegas beliau.