Ramai rakyat hilang pekerjaan

Bastien Onn
Bastien Onn
A
A
A

KLUANG – Pemuda UMNO Malaysia akan terus memantau dan memainkan peranan menyampaikan suara hati rakyat yang terkesan dengan kegagalan kerajaan PH mentadbir ekonomi.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Bastien Onn berkata, bulan Ramadan lalu pemuda UMNO di seluruh negara telah melakukan pelbagai siri lawatan dan ziarah bagi menyelami keadaan rakyat.

“Kebanyakan mereka hilang pekerjaan atau terpaksa menerima potongan gaji untuk kekal bekerja.

“Menteri Kewangan, Lim Guan Eng perlu tahu bahawa keadaan ini tidak langsung menggambarkan kedudukan ekonomi yang beliau sering banggakan,” katanya.

Menurutnya lagi, keadaan eksport dan import negara yang tidak mampan, jumlah pelaburan yang menurun, kemusnahan pasaran saham Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) turut menjadi punca ramai yang hilang pekerjaan dan mata pencarian.

Katanya, pengumuman duit raya RM300 kepada peneroka Felda juga sudah cukup menggambarkan bahawa kedudukan ekonomi di bawah pentadbiran PH telah gagal berbanding zaman pentadbiran BN peneroka Felda mendapat duit raya sebanyak RM780.

“Kerajaan jangan hukum peneroka-peneroka Felda kerana kegagalan mereka sendiri mentadbir ekonomi kerana peneroka ini membekalkan buah sawit kepada negara dan sekiranya harga komoditi ini turun, ini disebabkan usaha kerajaan untuk meningkatkan harga sawit telah gagal.

“Mereka (peneroka) hanya bergantung kepada pendapatan buah-buah sawit dan bukan tanggungjawab mereka untuk menentukan harga sawit kerana ini adalah tanggungjawab kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: