Berpura-pura minta daun sebelum curi gelang emas

Mustafa
Mustafa
A
A
A

PONTIAN - Berpura-pura meminta daun yang mampu mengubati penyakit kencing manis dipercayai menjadi taktik dua wanita dan seorang lelaki dalam kejadian curi melibatkan seorang warga emas di Jalan Parit Ismail Benut, semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, kejadian yang berlaku jam 1.30 tengah hari itu menyebabkan wanita berusia 74 tahun berkenaan kehilangan gelang emas yang dianggarkan melebihi RM2,000.

Katanya, warga emas terbabit didatangi dua wanita dan seorang lelaki menaiki Proton Inspira berwarna putih di rumahnya meminta sejenis daun ubat tradisional untuk mengubati penyakit kencing manis.

“Ketiga-tiga suspek beritahu kepada mangsa mereka hendak buat ubat kencing manis menggunakan daun berkenaan.

“Kemudian suspek lelaki bersama seorang suspek wanita telah pergi ke tepi rumah mangsa untuk mengambil daun tersebut. Seorang lagi suspek wanita difahamkan berada di dalam kereta,” katanya.

Bagaimanapun, selesai memberikan daun dan kesemua suspek beredar, mangsa mendapati beg tangannya di atas meja di dapur beralih tempat.

“Selepas diperiksa beg tangan itu, mangsa mendapati gelang emas miliknya hilang.

“Mangsa percaya rumahnya telah dimasuki orang yang mengambil barang-barang miliknya. Dia kemudian bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Benut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mustafa memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.