Merana akibat NPS

Wartawan Sinar Siasat menemubual Mona di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Wartawan Sinar Siasat menemubual Mona di Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

KHAYAL hingga berasa seperti melayang di udara dan mempunyai tenaga luar biasa ketika menari adalah antara keseronokan yang dinikmati selepas mengambil dadah jenis new psychoactive substance (NPS) berbentuk pil menyerupai ekstasi.

Itu pengakuan seorang bekas penagih dadah jenis NPS bernama Sofyan (bukan nama sebenar), 23, ketika terjebak dalam ketagihan dadah baharu itu sejak 2014.

“Pertama kali saya ambil dadah jenis NPS ketika berhibur dalam konsert Future Music Festival Asia di Stadium Bukit Jalil pada 13 Mac 2014. Pada mulanya saya tidak tahu jenis dadah itu, tetapi ada rakan suruh cuba.

“Selepas telan sebiji, saya mula berasa tubuh seperti bergerak sendiri, ringan dan terawang-awang di udara. Rasa seronok biarpun baru pertama kali menggunakan dadah yang dipercayai jenis NPS, namun kesan yang digambarkan tidak menyerupai pil ekstasi,” katanya kepada wartawan Sinar Siasat.

Kata Sofyan, sewaktu berhibur di konsert itu dia juga mendapati tenaganya tidak berkurang walaupun sudah menari dalam waktu yang lama.

Katanya, dia mula ketagih NPS selepas kali kedua mengambil dadah itu, apatah lagi dia sememangnya gemar mengunjungi pub untuk menari dan mendengar muzik.

Daripada pengguna tegar dadah jenis ganja yang diambilnya sejak berusia 16 tahun, Sofyan bertukar selera menggunakan jenis pil NPS yang dirasakannya lebih hebat.

Menurutnya, akibat ketagihan terhadap dadah jenis itu menyebabkan dia terpaksa menghabiskan wang sakunya yang cuma bekerja sambilan ketika itu untuk sebiji pil setiap kali berhibur di kelab.

Artikel Berkaitan:

Ketagihan teruk

“Saya memperuntukkan wang sehingga RM400 untuk membeli dadah itu bagi kegunaan antara dua dan tiga hari sahaja. Akibat ketagihan teruk saya alami perubahan fizikal dan halusinasi.

Sofyan mengakui mengalami halusinasi akibat pengambilan dadah itu.
Sofyan mengakui mengalami halusinasi akibat pengambilan dadah itu.

“Saya mula bercakap seorang diri mengenai perkara-perkara mengarut. Melihat keadaan saya semakin teruk, keluarga hantar saya ke Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kajang dan kemudian saya dihantar ke sini (Klinik Cure & Care Sungai Besi, Kuala Lumpur).

“Dalam tempoh 14 bulan di klinik ini, diri saya banyak berubah. Klinik ini banyak membantu proses pemulihan saya daripada ketagihan dadah,” katanya.

Seperti Sofyan, seorang bekas penagih bernama Mona yang berasal dari Hulu Langat juga berkongsi cerita mengenai ketagihan dadah yang dialaminya sejak berusia 17 tahun akibat pengaruh rakan sebaya.

Mona, 32, mengalami ketagihan dadah jenis syabu sebelum beralih menggunakan pil ekstasi gara-gara gemar berhibur di kelab malam setiap hujung minggu.

“Saya perlukan ekstasi ketika berhibur. Setiap malam saya ambil dadah itu untuk berhibur di kelab malam. Selepas guna pil ekstasi badan saya mula menggigil, sejuk dan lama-kelamaan saya hiperaktif sehingga boleh menari tanpa henti di kelab malam.

“Dua tiga orang kawan saya guna dadah NPS. Saya lihat kesannya mereka hiperaktif, senang berhibur dan boleh menari tanpa henti. Harganya antara RM90-RM100 untuk pakej pil.

"Harganya memang mahal tetapi kesannya sampai dua tiga hari,” katanya.

Menurut Mona, akibat ketagihan, perbelanjaan ketika menagih hampir mencecah RM1,000 sebulan sedangkan ketika itu gajinya sebagai jurujual cuma sekitar RM1,200.

Namun, langit tidak selalu mendung apabila cahaya keinsafan mula terbit daripada sanubari Mona hasil dorongan bekas suaminya.

Mona merasakan lebaran Aidilfitri tahun ini sangat bermakna apabila dia berpeluang pulang bersama keluarga menyambut hari raya selepas mendapat kebenaran Klinik Cure & Care Sungai Besi.

Sejak sembilan bulan lalu Mona sedang memulihkan dirinya daripada ketagihan dadah di klinik milik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu.