Suu Kyi didakwa benci orang Islam

 Suu Kyi (kiri) ketika bertemu dengan Orban di Budapest pada Rabu lalu.
Suu Kyi (kiri) ketika bertemu dengan Orban di Budapest pada Rabu lalu.
A
A
A

BUDAPEST - Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi dan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban dengan lantang menyuarakan kekesalan mereka tentang populasi Muslim yang terus berkembang di negara mereka ketika bertemu di Budapest pada minggu lalu sempena lawatan pemimpin prodemokrasi itu ke Eropah.

Kedua-dua mereka dilaporkan sependapat tentang isu imigrasi dan Islam walaupun selepas Suu Kyi dikecam masyarakat antarabangsa kerana hanya berdiam diri tentang penindasan ke atas pelarian Rohingya.

“Mereka mendakwa cabaran yang perlu dihadapi kedua-dua negara dan rantau Asia Tenggara serta Eropah adalah migrasi dan perkembangan populasi Islam,” jelas kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan tersebut.

Mesyuarat itu diadakan selepas imej penerima Hadiah Nobel Keamanan itu tercalar berikutan beberapa anugerah antarabangsa yang diberikan kepadanya ditarik balik kerana kegagalannya menangani isu kebanjiran pelarian Rohingya akibat gelombang keganasan baharu yang tercetus pada Ogos 2017.

PBB menyalahkan pejuang demokrasi itu kerana gagal untuk menghalang keganasan dan kekejaman ke atas etnik Islam terbabit yang menyebabkan lebih 700,000 melarikan diri ke Bangladesh.

Sementara itu, Orban dengan biadab menggelar pelarian dari Timur Tengah dan Asia Tengah yang melarikan diri daripada peperangan dan krisis ekonomi di negara masing-masing sebagai ‘penceroboh Islam’. Dengan angkuh pemimpin berhaluan kanan itu berkata, beliau telah mengambil langkah dramatik untuk mengurangkan kemasukan golongan tersebut ke Hungary.

Kerajaan Budapest turut mengarahkan pembinaan pagar kawat berduri di sepanjang sempadan dengan Serbia di bawah usaha mengekang kebanjiran pelarian.

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu bagaimanapun mencetuskan kritikan daripada Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW).

Artikel Berkaitan:

“Suu Kyi melihat pertemuan dengan Orban sebagai pencapaian yang sangat penting. Beliau kini seakan berbangga kerana dapat menjalinkan persahabatan dengan pemimpin antidemokrasi dan xenofobia seperti Orban selepas tindakan memalukannya kerana menyembunyikan kekejaman tentera Myanmar ke atas penduduk Rohingya,” kata Timbalan Pengarah HRW di Asia, Phil Robertson. Sebelum ini, Orban beberapa kali tidak sependapat dengan Kesatuan Eropah (EU) tentang isu migrasi selepas Hungary mengisytiharkan ‘situasi krisis akibat tsunami pelarian’ pada 2015.

Laporan Majlis Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Eropah mendapati pentadbiran pemimpin nasionalis itu didakwa menggunakan retorik antipelarian yang jelas mempamerkan sikap xenofobia dan kebencian terhadap golongan terbabit.

Difahamkan, lawatan pemimpin Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) ke tengah Eropah itu bertujuan untuk mengukuhkan hubungan ekonomi di rantau terbabit.

Selain Hungary, Suu Kyi telah melawat ke Republik Czech dan bertemu dengan Perdana Menteri, Andrej Babis. - Agensi