'Serius tangani PATI, KDN perkenalkan pelan strategik'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Menyedari masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu diperangi secara berterusan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha untuk menghasilkan pelan strategik penguatkuasaan PATI yang lebih komprehensif dan menyeluruh.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendekatan itu sebagai satu langkah memperkukuh tadbir urus dan menambah baik sistem kerja penguatkuasaan sedia ada.

Jelasnya, Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI merupakan strategi penguatkuasaan yang komprehensif untuk mengatasi permasalahan kebanjiran PATI di negara ini.

"Ia akan melibatkan kerjasama secara strategik di antara pelbagai Kementerian dan Agensi, serta melibatkan peranan Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)/ Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama-sama membantu secara aktif dalam membanteras PATI," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, objektif pelan ini adalah mewujudkan satu ekosistem yang tidak selesa kepada PATI dalam meneruskan kehidupan seharian mereka melalui pendekatan mendaya upaya agensi penguatkuasa dan kawal selia sedia ada termasuk meningkatkan kerjasama strategik dan kesedaran masyarakat setempat.

"Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima (5) tahun dan akan menggariskan pelan tindakan atau strategi membanteras PATI berdasarkan 5 strategi atau fokus utama," katanya lagi.

Katanya, strategi-strategi yang digariskan dalam Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI ini berlunaskan bidang-bidang fokus yang dikenal pasti bersesuaian dengan peranan agensi-agensi yang terlibat dan dibangunkan bagi memberikan impak signifikan ke arah peningkatan imej penyampaian perkhidmatan awam terutamanya pasukan penguatkuasaan.

Berikut merupakan 5 strategi berkenaan:-

Artikel Berkaitan:

i. Strategi Operasi Penguatkuasaan PATI yang menggariskan pelan pelaksanaan berkaitan operasi penguatkuasaan membanteras PATI di seluruh negara

ii. Strategi Perundangan dan Dasar Penguatkuasaan PATI yang menggariskan pelan pelaksanaan penggubalan undang-undang dan penyelarasan dasar berkaitan penguatkuasaan PATI

iii. Strategi Kawalan Sempadan dan Pintu Masuk yang menggariskan pelan pelaksanaan pemantauan kawalan keselamatan di sempadan dan pintu masuk negara

iv. Strategi Pengurusan Warga Asing yang menggariskan pelan penyelarasan dasar berkaitan warga asing

v. Strategi Strategi Media dan Publisiti yang menggariskan pelan pelaporan media, publisiti dan program kesedaran berkaitan PATI.