80 mangsa banjir di Perak masih di pusat pemindahan

Paras air mulai surut dan sebahagian mangsa banjir di Changkat Jong sudah dibenarkan pulang.
Paras air mulai surut dan sebahagian mangsa banjir di Changkat Jong sudah dibenarkan pulang.
A
A
A

IPOH - Seramai 80 mangsa banjir di Perak masih ditempatkan di dua pusat pemindahan masing-masing di Kuala Dipang, Kampar dan Changkat Jong Teluk Intan, sejak Khamis lalu.

Keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan semua mangsa masih belum dibenarkan pulang bagi tujuan keselamatan.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan berkata, pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong sehingga jam 5 petang tadi menempatkan 66 mangsa termasuk empat bayi.

"Keadaan paras air yang sebelum ini mencecah hampir 1 meter menunjukkan tanda surut dan sebahagian rumah yang terjejas selamat untuk didiami," katanya.

Sebelum ini, seramai 127 mangsa membabitkan 32 keluarga ditempatkan di situ selepas hujan lebat berterusan menyebabkan limpahan Sungai Bidor ke kawasan penempatan penduduk.

Dalam kenyataan sama, seramai 14 mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di Dewan Komuniti Kampung Kuala Dipang.

"Tinjauan semula akan dilakukan esok sebelum semua mangsa dibenarkan pulang," katanya.

Info:

Pusat pemindahan: 2

Artikel Berkaitan:

Mangsa: 80 orang

Keluarga: 17

Kampung terjejas:

1. Changkat Jong - Kampung Batu 7 1/2, Batu 8 dan Batu 9

2. Kuala Dipang - Kampung Cabang Dua