Kerajaan PH perlu fokus wujudkan peluang kerja berkualiti

Gambar kecil, Mohd Aizuddin Ariffin.
Gambar kecil, Mohd Aizuddin Ariffin.
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi tumpuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti pada tahun kedua pemerintahannya.

Timbalan Ketuanya, Mohd Aizuddin Ariffin berkata, ia bagi memenuhi komitmen kerajaan dalam manifesto PH untuk mewujudkan sejuta peluang kerja berkualiti.

Menurutnya, ini kerana kadar pengangguran kalangan siswazah meningkat kepada 9.4 peratus bersamaan 204,000 orang mewakili 40 peratus kadar pengangguran keseluruhan negara, iaitu sekitar 516,000 orang.

“Laporan terbaru Jabatan Perangkaan Malaysia itu membimbangkan, berbanding negara lain pengangguran di Malaysia pada kadar 10.8 peratus, Singapura (4.6 peratus), Thailand (5.9 peratus) dan Vietnam (7.9 peratus).

“Melihat kepada unjuran pertumbuhan domestik yang dijangka sederhana sekitar 4.5 peratus, adalah menjadi kebimbangan dan cabaran dalam mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, berdasarkan perkembangan perlahan yang berkadar langsung dengan trend pertumbuhan domestik,” katanya.

Menurutnya, laporan intipati Bank Negara 2018 turut menyatakan kadar pengangguran dijangka kekal pada kadar 3.3 hingga 3.5 peratus, dengan kadar pengambilan kerja berkembang perlahan.

“Usaha serius dan komitmen kerajaan di setiap kementerian termasuk kerjasama sektor swasta, pemain industri, pakar ekonomi dan ahli akademik perlu diperhebatkan untuk melihat isu ini secara mendalam,” katanya.

Pada 9 Mei lalu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar mengumumkan sebanyak 270,000 peluang pekerjaan baharu diwujudkan dalam tempoh hanya lapan bulan selepas PH memerintah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah itu melebihi sasaran awal kerajaan yang menganggarkan hanya dapat mewujudkan sekitar 240,000 peluang pekerjaan dalam tempoh setahun.

Mahfuz juga yakin sasaran satu juta pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan dicapai berdasarkan kepada prestasi semasa.