Pas mahu Latheefa selesaikan isu RM90 juta

Ahmad Fadhli (tiga, kiri) ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Mas hari ini.
Ahmad Fadhli (tiga, kiri) ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Mas hari ini.
A
A
A

PASIR MAS - Pemuda Pas mahu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya yang baru dilantik memberikan keutamaan kepada kes dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan parti itu.

Naib Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya mahu kes itu diselesaikan secepat mungkin bagi membersihkan nama dan maruah parti berkenaan.

“Jika ada yang terlibat sila hadapkan terus ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

“Seandainya tiada yang terlibat dengan isu tersebut sebagaimana didakwa, sila buat kenyataan segera bagi membersihkan Pas daripada tuduhan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fadhli ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Mas, Datuk Hanifa Ahmad.

Menurutnya, Pas sentiasa terbuka dalam memberikan kerjasama bagi menyelesaikan isu tersebut.

Sebelum ini, editor portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dalam artikelnya yang diterbitkan oleh portal Sarawak Report mendakwa pimpinan tertinggi Pas mungkin menerima RM90 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendorong bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemudiannya memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di London pada 21 April 2017.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang selepas itu bersetuju memuktamadkan penyelesaian dengan Rewcastle-Brown.

Keputusan menerima penyelesaian di luar mahkamah dengan Rewcastle-Brown adalah disebabkan kos guaman yang terlalu tinggi dengan menambah wang berjumlah berjuta-juta itu boleh digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat.

Dalam pada itu, Najib juga menafikan memberikan wang kepada pemimpin Pas serta memaklumkan akaun bank beliau telah pun disiasat oleh pihak berkuasa selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lepas.

Ahmad Fadhli berkata, pihaknya memberikan sokongan padu terhadap pelantikan Latheefa sebagaimana dinyatakan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Katanya, gabungan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) tidak perlu menolak pelantikan tersebut yang sememangnya telah melanggar prinsip sebagaimana dijanjikan sebelum ini.