Segera selamatkan orang asli Kuala Koh!

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Pakatan harapan (PH) Kelantan, Senator Datuk Husam Musa meminta semua pihak beri perhatian segera terhadap kematian misteri orang asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang.

Husam melalui satu kenyataan di laman sosial Facebook miliknya berkata, punca kematian sebilangan penduduk bersama ancaman kesihatan yang sedang dialami memerlukan tindakan menyelamat segera.

“Jika benar punca kematian mereka adalah daripada sisa buangan lombong besi yang mencemari tadahan air mereka yang sudah sedia daif, langkah segera membekalkan air bersih hendaklah diambil dan kesan amalan perlombongan berkenaan hendaklah disiasat dan di atasi.

“Adalah satu peristiwa malang, orang asli yang telah sedia ketinggalan dan kesempitan dalam semua segi, disukarkan lagi kehidupan mereka sehingga mengorbankan bilangan yang besar keluarga mereka, termasuk kanak-kanak. Lebih penting ialah anggota masyarakat mereka yang masih hidup tidak terus menjadi mangsa dan dapat diselamatkan,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan kes kematian misteri orang asli suku Bateq dari Kuala Koh, Gua Musang yang didakwa menderita penyakit misteri sehingga meragut nyawa mereka.

Sejak Ramadan lalu, 13 penduduk di kawasan tersebut termasuk seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat penyakit misteri itu.

Dalam kenyataan yang sama, Husam juga menyeru semua agensi terbabit tampil menyiasat kedudukan sebenar isu tersebut.

Malah, langkah proaktif untuk menyelamatkan mangsa perlu dilakukan, selain sentiasa memaklumkan kedudukan sebenar kepada keluarga, masyarakat orang asli yang terlibat dan rakyat secara keseluruhannya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiga bayi antara korban kematian misteri

Misteri kematian orang asli di Gua Musang