X

Kindly register in order to view this article
!

Polis tumpaskan sindiket seludup migran ke Eropah

Abdul Hamid
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan rangkaian sindiket penyeludupan migran ke negara Eropah melibatkan warga tempatan dan Sri Lanka.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, tangkapan pada 27 Mei dilakukan ketika ahli sindiket sedang menguruskan penyeludupan seorang kanak-kanak lelaki warga Sri Lanka menggunakan dokumen perjalanan Malaysia melalui sempadan Padang Besar, Perlis ke Thailand dan seterusnya ke Eropah dengan cara yang salah.

Menurutnya, susulan itu seramai 11 individu membabitkan tiga warga tempatan dan lapan warga Sri Lanka berjaya diberkas.

"Kesemua tangkapan dibuat di beberapa lokasi berasingan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar, Perlis dan sekitar Lembah Klang.

"Semua warga Malaysia yang berperanan sebagai fasilitator dan eskot ini ditangkap kerana dipercayai terlibat menguruskan penyeludupan keluar warga Sri Lanka dengan menggunakan dokumen perjalanan Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thailand," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Hamid mendedahkan, sindiket turut melindungi dan menyembunyikan migran warga Sri Lanka di sekitar Kuala Lumpur bagi tujuan penyeludupan keluar ke negara ketiga.

Menurutnya, tiga warga tempatan itu disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala warga Sri Lanka disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Dengan tangkapan ini, PDRM berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket yang telah aktif sejak pertengahan tahun lalu dengan menjadikan Malaysia sebagai negara transit.

"Kami percaya sindiket ini mempunyai rangkaian hubungan antarabangsa merentasi Sri Lanka, Malaysia dan Eropah. Usaha ke arah membanteras sindiket penyeludupan migran akan terus dipertingkat bagi memastikan kegiatan ini dapat dihapuskan," katanya.