Polis nafi dua penduduk Orang Asli mati kerana sakit misteri

No Image Caption
A
A
A

GUA MUSANG - Polis menafikan dua penduduk Orang Asli yang meninggal dunia di Kampung Kuala Koh di sini, pada 29 Mei lepas dan semalam berpunca sakit misteri.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Taufik Maidin berkata, kedua-dua mangsa, seorang lelaki berusia 30 tahun yang meninggal dunia pada 29 Mei lepas dan gadis berusia 21 tahun itu yang meninggal dunia kira-kira jam 4 petang semalam di kampung tersebut adalah kerana jangkitan kuman di paru-paru yang menyebabkan batuk teruk.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas kedua-dua mayat di Hospital Gua Musang mendapati kedua-duanya meninggal dunia kerana batuk teruk dan bukan kerana sebarang sakit misteri.

"Malah, siasatan yang dijalankan turut mendapati ramai lagi anggota masyarakat itu yang mengidap penyakit sama termasuk 31 orang yang sedang menerima rawatan ketika ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Taufik berkata, seramai 13 orang daripada mereka menerima rawatan di Hospital Gua Musang manakala dua yang kritikal telah dihantar ke Hospital Kuala Krai dan selebihnya menerima rawatan di Klinik Kesihatan Aring 1 dan Klinik Kesihatan Chiku 3 sebagai pesakit luar.

Beliau turut menafikan dakwaan penduduk Orang Asli di perkampungan itu yang menyatakan 13 orang sudah meninggal dunia akibat penyakit tersebut memandangkan pihaknya hanya menerima laporan kematian dua orang sahaja setakat ini.

Katanya, pihaknya juga sentiasa memantau perkembangan penyakit itu dengan agensi berkaitan bagi memastikan mereka yang dijangkiti menerima rawatan segera.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu Hashim Alang Abdul Hamid berkata, pihaknya juga belum menerima laporan penuh berhubung dakwaan 13 kematian penduduk Orang Asli dalam tempoh sebulan lepas akibat jangkitan kuman.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima laporan dua kematian sahaja namun menegaskan perkara itu sedang disiasat termasuk mendapatkan senarai nama lengkap mereka yang telah meninggal dunia. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kematian orang asli di Gua Musang