AMK gesa Latheefa lepas jawatan, buktikan ada integriti

Syed Badli Shah Syed Osman
Syed Badli Shah Syed Osman
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menggesa Latheefa Koya melepaskan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuktikan beliau mempunyai integriti.

Syed Badli Shah Syed Osman berkata, sebagai individu yang sering mempertikaikan salah laku dan integriti pelbagai pihak, bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty itu perlu menyatakan pendirian menolak pelantikan tersebut.

Dakwanya, pelantikan tersebut juga tidak mengikut saluran yang betul tanpa melalui konsultasi JawatanKuasa Khas Parlimen apatah lagi perbincangan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengakui beliau melantik Latheefa tanpa perlu merujuk kepada Jemaah Kabinet terlebih dahulu.

“Pelantikan dengan cara begini tidak boleh dijadikan amalan dalam kerajaan PH kerana rakyat akan mempertikaikan ketelusan dalam prosedur pelantikan jawatan agensi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Badli berkata, PH perlu peka dengan kehendak rakyat khususnya dalam menzahirkan janji manifesto seperti termaktub dalam Janji ke-14 Buku Harapan.

Ia dengan jelas menyatakan di bawah kerajaan PH, SPRM akan melapor terus kepada Parlimen bukan lagi kepada Perdana Menteri.

“Justeru itu saya menggesa Latheefa meletakkan jawatan serta-merta sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM jika beliau bermaruah,” katanya.

Artikel Berkaitan: