Aiman, Zahirah ‘berpisah’ seketika di hari raya.

Aiman Hakim Ridza dan Zahifah MacWilson. - FOTO : ROSLI TALIB
A
A

HUBUNGAN cinta antara dua pelakon, Aiman Hakim Ridza dan Zahifah MacWilson bukan lagi rahsia. Bahkan peminat pasangan ini bagai merestui percintaan yang terjalin.

Bagaimanapun pada lebaran kali ini, pasangan ini akan ‘terpisah’ seketika apabila Zahirah pulang ke Perth, Australia untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga manakala Aiman pula menyambut hari raya di Kuala Lumpur.

Lantaran itu, ditanya tidakkah mahu dia menjejaki kekasih hati di Perth dan sekali gus menyambut lebaran bersama keluarga Zahirah, Aiman hanya berkata, “Insya-ALLAH kalau tak ada rintangan.”

Jelas Aiman, kebiasaannya dia dan keluarga hanya menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur memandangkan tidak lagi mempunyai kampung.

“Apa yang saya nantikan setiap kali hari raya adalah untuk meluangkan masa bersama keluarga. Selain itu, kami juga ambil kesempatan untuk bercuti memandangkan kami tiada kampung.

“Jadi untuk ke Perth itu, Insya-ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu berkongsi juadah kegemarannya ketika hari raya, ujar selebriti berusia 30 tahun ini, sama seperti kebanyakan orang lain, dia juga menyukai lemang dan rendang.

“Saya tak suka sangat dengan kuih-kuih raya. Tapi lemang dengan rendang memang juadah wajib ada,” katanya.

Ditanya perkembangan hubungan mereka, Aiman berkata, setakat ini kedua-duanya sudah bertemu dengan keluarga masing-masing dan respon yang diterima sangat positif.

“Zahirah dah beberapa kali jumpa keluarga saya, saya pun dah berjumpa dengan ibu dan bapa Zahirah.

“Seperti yang kami pernah beritahu sebelum ini, kami memang nak pergi ke fasa seterusnya. Tapi proses dan masanya bukan mudah. “Kena ada perbincangan lanjut kedua-dua belah pihak. Jadi selagi belum ada perbincangan, saya tak mahu ulas panjang lagi mengenai perancangan kami,” ujarnya.

Tambah Zahirah, 24, dia tidak mahu tertekan dengan harapan orang lain untuk mereka berkahwin secepat mungkin.

Apatah lagi, keluarganya tidak berada di Malaysia dan perbincangan teliti perlu dibuat sebelum apa-apa majlis dilakukan.

“Family Aiman di sini, family saya di Perth, jadi banyak benda yang nak kena buat untuk ke fasa seterusnya. Bukan mudah untuk dirancang dalam masa yang singkat.

“Jadi macam dari awal lagi, saya hanya go with the flow. Saya tak nak letak apa-apa tekanan kerana perhubungan ini juga penting.

“Cuma saya target untuk berkahwin sebelum 40 tahun,” katanya berseloroh.

Selesa beraya di Perth

Sementara itu, berkongsi sambutan Aidilfitrinya, Zahirah berkata, sama seperti tahun-tahun sebelumnya, dia akan menyambut lebaran bersama ibu dan adik-beradiknya di Perth.

Walaupun berada di negara orang, ujar pelakon utama Curi-Curi Cinta ini, sambutan hari raya di sana tetap meriah dan ada komuniti Islam dan Melayu di sana yang akan menyambut lebaran bersama-sama.

“Mama saya tetap akan masak juadah kebiasaan seperti rendang, nasi impit. Malah ada juga komuniti yang buat rumah terbuka dan menyambut raya bersama-sama.

“Suasana tetap meriah dan paling penting, tiada kesesakan jalan raya dan cuaca pun sejuk,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zahirah berkata, dia akan kembali sibuk selepas pulang dari Perth dengan penggambaran dan mempromosikan filem terbaharu lakonannya.