PU Riz tidak mahu terikat dengan watak ustaz

No Image Caption
A
A
A
BIARPUN namanya mula dikenali menerusi program keagaaman, Pencetus Ummah (PU) musim keempat, Riz Ismail mengakui kini banyak menerima tawaran dalam bidang lakonan.

Malah satu demi satu drama lakonannya diterima ramai sehingga namanya kini dilihat lebih menonjol sebagai seorang pelakon berbanding sebagai penceramah bebas sebagaimana rakan-rakan PU yang lain.

“Memang saya tidak nafikan perkara tersebut kerana selepas keluar daripada program tersebut, saya tak banyak sangatpun menerima tawaran untuk berceramah seperti mana rakan-rakan lain.

“Sebaliknya rezeki saya lebih terbuka dalam bidang seni terutamanya dalam bidang lakonan apabila banyak tawaran yang datang dan memberikan pelbagai peluang untuk saya mencuba bakat.

No Image Caption



“Saya akur dengan perjalanan ini dan mungkin sudah ditentukan dakwah saya kepda masyarakat dengan cara yang begini, maksudnya melalui bidang lakonan,” ujarnya.

Bagaimanapun, PU Riz yang kini tampil dengan drama terbaharu lakonannya, Selafaz Cinta yang kini sedang hangat disiarkan di Astro Prima mengakui tidak pernah mengetepikan batas-batas yang harus dijaga sepanjang bergelar pelakon.

No Image Caption



Menurut PU Riz, sebelum menerima sesuatu tawaran berlakon, dia terlebih dahulu akan memaklumkan kepada pihak produksi untuk tidak melakukan sebarang babak bersentuhan dengan pelakon bukan muhrim.

Artikel Berkaitan:


“Memang saya akui kadang-kala susah juga kalau kita nak menetapkan syarat sebegitu dalam lakonan, namun Alhamdulillah setakat ini banyak produksi yang faham dan tidak ada masalah tentang perkara itu.

“Mungkin ada yang fikir bila saya kata tak mahu bersentuhan, apatah lagi dengan gelaran PU pada pangkal nama saya, saya hanya nak bawa watak-watak ustaz sahaja.

“Sebenarnya saya terbuka dan tak kisah pun untuk mencuba pelbagai watak lain, asalkan ia tidak bertentangan dengan prinsip saya dan mencetuskan persepsi yang kurang baik pada orang lain,” katanya kepada Sinar Harian.